PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Mohd Isa Samad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu, daripada sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd Isa, 75, atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhi tertuduh hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau penjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai.
Susulan itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan ini memfailkan notis rayuan terhadap sabitan, hukuman penjara dan denda terhadapnya, pada 4 Februari 2021.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 November tahun lalu untuk keputusan rayuan.
Notis berhubung penetapan tarikh itu dikeluarkan pada 17 Oktober tahun lalu dan diserahkan kepada pihak pembelaan Mohd Isa, Tetuan Salehuddin Saidin & Assoc dan Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.
Bagaimanapun, keputusan itu ditangguhkan ke dua tarikh lain, tarikh berkenaan ditukar sekali lagi ke 6 Mac.
Dalam rayuan, bekas pemimpin UMNO itu diwakili peguam, Datuk Salehuddin Saidin manakala pendakwaan sebagai responden oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28