Bekalan vaksin influenza di klinik swasta terhad

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR - Selepas isu dakwaan kekurangan bekalan ubat Tamiflu di klinik-klinik swasta untuk merawat influenza, timbul pula masalah bekalan vaksin yang terhad.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa klinik di sekitar ibu negara mendapati berlaku ketiadaan stok vaksin untuk pencegahan influenza sekurang-kurangnya sejak seminggu lalu.

Iklan
Iklan

Ia susulan permintaan tinggi masyarakat yang mahu mengambil langkah pencegahan disebabkan panik dengan gejala influenza.

Salah seorang pembantu klinik di Wangsa Maju, Yasmin Amer, 32, berkata, bekalan baharu hanya akan diperoleh selepas Tahun Baru Cina.

Iklan

Katanya, disebabkan permintaan tidak terlalu tinggi sebelum ini, klinik hanya mengambil bekalan yang terhad yang dipesan pada November tahun lalu.

"Tetapi sejak ramai yang terkena jangkitan, ramai yang datang ke klinik untuk dapatkan vaksin sehingga tiada lagi stok yang tinggal.

Iklan

"Itu pun masih ramai yang datang bertanya kerana mereka telah pergi ke kebanyakan klinik lain tetapi hampa," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Caj untuk suntikan vaksin influenza melonjak sehingga RM120 bagi satu suntikan disebabkan bekalan vaksin tersebut yang semakin terhad.

Seorang lagi pembantu klinik di Setapak dikenali sebagai Raihan berkata, bekalan vaksin influenza di klinik berkenaan tiada sejak seminggu lalu.

Katanya pesanan telah dibuat dan sepatutnya bekalan diterima pada hari ini namun pihak pembekal masih belum dapat menyediakannya.

"Tidak tahu bila boleh dapat bekalan. Harga ambil vaksin influenza di sini biasanya RM97," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan harga vaksin influenza didapati mengalami peningkatan sehingga 30 peratus di pasaran.

Difahamkan caj untuk suntikan vaksin influenza melonjak sehingga RM120 bagi satu suntikan disebabkan bekalan vaksin tersebut yang semakin terhad di klinik sekitar Lembah Klang.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum itu menyangkal dakwaan dan khabar angin yang menyatakan stok ubat-ubatan bagi merawat jangkitan influenza di fasiliti KKM tidak mencukupi atau sudah kehabisan stok.

KKM dilaporkan mengambil inisiatif untuk mendapatkan bekalan tambahan daripada pembekal alternatif dalam memastikan stok ubat-ubatan mencukupi dan memenuhi permintaan.

Buat masa ini, kedudukan stok Oseltamivir 75mg Capsule dan Oseltamivir 60mg/5ml Oral Suspension adalah mencukupi bagi menampung keperluan rawatan influenza di fasiliti KKM.