PATI ditahan tangkap ikan, temui alat hisap dadah

Iklan
Maritim Selangor menahan empat nelayan asing di perairan Sekinchan pada Ahad lalu.

SEKINCHAN - Penahanan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menangkap hasil laut di perairan di sini pada Ahad lalu, membongkar penemuan peket serta peralatan menghisap dadah.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot kelas B1 itu ditahan pada jam 2.45 petang oleh Kapal Maritim Malaysia di kedudukan kira-kira 10.8 batu nautika barat Sekinchan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot tempatan itu dikendalikan seorang tekong dan tiga kru warga Myanmar berusia antara 30 hingga 38 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Abdul Muhaimin

"Pemeriksaan lanjut telah menemukan tiga set peralatan menghisap dadah, tiga peket plastik lut sinar mengandungi hablur kristal berwarna putih disyaki dadah syabu anggaran berat kasar 3 gram, tiga botol ubat batuk dan satu plastik hitam mengandungi daun ketum seberat kira-kira tiga kilogram.

Iklan

"Turut didapati satu tangki simpanan bahan api yang telah diubah suai berisi kira-kira 400 liter minyak diesel di bahagian hadapan dek bot," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, kesemua tangkapan dan rampasan telah dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah, Klang sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Selangor menahan empat nelayan asing di perairan Sekinchan, pada Ahad lalu.

Iklan

Katanya, kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Racun 1952, Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28