SUNGAI PETANI - Aplikasi Think Quran bukan sahaja mampu menjadikan seseorang itu lebih memahami bacaan dalam al-Quran, malah memberi nilai tambah sepanjang bertadarus pada Ramadan nanti.
Pengerusi Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (Salimah) Kedah, Masadah Sajadi berkata, sesuai dengan kedatangan Ramadan yang menggalakkan umat Islam mengerjakan amal kebaikan, aplikasi Think Quran pula menyediakan platform agar lebih ramai mendekati al-Quran dengan bantuan gajet dan teknologi.
Menurutnya, dengan kaedah latih tubi ulangan, seseorang pengguna dapat mengingati perkataan yang dipelajari secara berulang-ulang.
"Bila usia meningkat, ambil masa untuk belajar bahasa Arab, tetapi aplikasi ini memudahkan pembelajaran buat semua peringkat.
"Nak Ramadan ini, bila tadarus tu dah boleh faham sikit-sikit perkataan ketika membaca Al-Quran, tambah nilai sambil fahami erti... bukan nak cepat habiskan 30 juzuk semata-mata tetapi tahu juga maksud perkataan yang dah belajar," katanya.
Jelas beliau, aplikasi yang diperkenalkan secara global itu tidak hanya menumpukan kepada pasaran Malaysia semata-mata malah telah tersedia untuk pengguna di beberapa negara lain.
"Saya dengar ia telahpun menyediakan pelbagai bahasa untuk kegunaan lebih meluas seperti pengguna Turki, Indonesia dan juga mereka yang berkomunikasi menggunakan bahasa inggeris.
"Cukup berbaloi kerana aplikasi ini digunakan untuk pembelajaran seumur hidup dan sehingga kini, lebih 700 patah perkataan telah saya pelajari, ia sangat membantu," katanya.
Masadah berkata, penggunaan aplikasi Think Quran kepada golongan dewasa dan kanak-kanak juga boleh memanfaatkan masa dengan berfaedah selain membantu mengelakkan daripada terjebak kepada penggunaan teknologi secara tidak terkawal.
"Saya galakkan semua orang untuk cuba mendapatkan aplikasi ini dan belajar bahasa al-Quran dengan lebih mahir agar mampu menguasai isi kandungannya yang menjadi panduan dalam hidup kita," katanya.