PUTRAJAYA - Sejurus dilepaskan dan dibebaskan daripada sembilan pertuduhan kes rasuah oleh Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu, bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menyatakan tidak menolak kemungkinan untuk kembali dalam arena politik.
Isa, 75, berkata, beliau hanya akan menyertai politik sekiranya diperlukan kerana beliau kini merupakan penyokong UMNO yang setia.
"Kalau penyokong parti, pendirian saya tidak berubah kerana saya adalah penyokong UMNO yang setia,” katanya.
Beliau berkata, ini kerana kesnya masih belum selesai memandangkan pihak pendakwaan mungkin membuat rayuan berhubung keputusan itu, di Mahkamah Persekutuan.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata demikian ketika ditemui di luar Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu, sejurus dilepaskan dan dibebaskan daripada sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Pada Rabu, panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah memutuskan bahawa Isa dibebaskan daripada semua pertuduhan antaranya disebabkan dakwaan bayaran pertuduhan suapan itu, tidak disokong bukti yang boleh dipercayai.
Pada 3 Februari 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Mohd Isa atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.
Hakim, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhi tertuduh hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan, kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Sementara itu isteri Mohd Isa, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid memanjatkan kesyukuran di atas keputusan terbabit.
Ini kerana beliau berkata, ahli keluarganya menempuhi saat yang sukar disepanjang enam tahun kes itu dibicarakan.
"Ini satu kemenangan buat kami, kerana semua ahli keluarga yakin beliau tidak bersalah.
"Saya dan anak-anak sentiasa memberi semangat, kami amat mengenalinya dan tahu dia seorang yang sangat baik hati,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!