'Tak sempat habiskan nasi kandar, lari selamatkan diri'

Iklan
Keadaan dalam restoran nasi kandar yang musnah akibat kebakaran pada Rabu.

KUALA LUMPUR -"Saya terus melarikan diri keluar dari restoran sebaik sahaja dengar bunyi letupan kuat," kata seorang pelanggan sebuah restoran nasi kandar yang terbakar di Jalan Bangsar Utama di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan

Individu yang mahu dikenali sebagai Khalid, 36, berkata, ketika kejadian dia sedang menikmati nasi kandar di restoran terbabit.

"Baru saja beberapa suap nasi, tiba-tiba saya dengar bunyi letupan, memang tak fikir panjang terus lari keluar dari restoran ini.

Iklan

"Keadaan agak kelam kabut ketika itu, namun mujur saya dan beberapa pelanggan lain tidak cedera cuma difahamkan ada seorang pekerja restoran yang cedera akibat kejadian," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pelanggan yang mahu dikenali sebagai Idris, 40, pula berkata, kejadian berlaku dengan pantas, namun dia bersama beberapa rakannya yang lain sempat selamatkan diri.

Keadaan dalam restoran nasi kandar yang mengalami kerosakan akibat kebakaran pada Rabu.

Iklan

"Restoran ini salah satu lokasi pilihan saya terutamanya ketika makan tengah hari, tak sangka boleh jadi sebegini.

"Masa api marak, saya dan rakan sempat keluar selamatkan diri. Kejadian jadi boleh katakan agak pantas juga," katanya.

Dalam kejadian itu, seorang pekerja sebuah restoran nasi kandar nyaris maut apabila hampir separuh badannya melecur dalam kebakaran di sini.

Penolong Kanan Penguasa Bomba Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.44 pagi.

"Seramai 44 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, BBP Seputeh, BBP Jalan Hang Tuah dan BBP Sri Hartamas bersama beberapa buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian pada jam 11.51 pagi mendapati kebakaran melibatkan sebuah restoran nasi kandar berkeluasan 40x100 kaki persegi dan terbakar 70 peratus," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, mangsa melibatkan seorang lelaki berumur 45 tahun dipercayai pekerja restoran terbabit.

Keadaan dalam restoran nasi kandar yang mengalami kerosakan akibat kebakaran pada Rabu.

"Mangsa mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

"Anggaran awal dari pihak hospital memaklumkan 80 peratus badan mangsa melecur akibat kebakaran," katanya.

Menurutnya, usaha memadamkan kebakaran dilakukan bagi mengelakkan merebak ke bangunan berhampiran.

"Kebakaran dikawal pada jam 12.08 tengah hari dan dipadamkan sepenuhnya pada 12.40 tengah hari.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya.