JOHOR BAHRU - Lima individu termasuk tiga pegawai Jabatan Imigresen Malaysia direman lima hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bagi menyeludup warga asing masuk menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).
Penolong Kanan Pendaftar, Nur Khalida Farhana Abu Bakar mengeluarkan perintah reman itu bermula 6 sehingga 10 Mac ini, selepas membenarkan permohonan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Rabu.
Menurut sumber, tiga pegawai imigresen yang bertugas di LTAS dan dua orang awam tersebut ditahan kira-kira jam 5 petang hingga 11 malam Selasa secara berasingan di di Pejabat SPRM Johor dan di Larkin, Johor Bahru.
Kelima-lima suspek iaitu empat lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 35 hingga 46 tahun.
Difahamkan, pasukan integriti Jabatan Imigresen Negeri Johor telah membuat pemeriksaan pematuhan integriti berkala di LTAS.
"Pasukan terbabit telah memeriksa telefon bimbit milik pegawai yang sedang bertugas dan telah menjumpai beberapa pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp dalam telefon bimbit pegawai terbabit yang mengandungi penawaran dan penerimaan wang rasuah daripada warga asing.
"Warga asing ini didapati ingin memasuki Malaysia melalui pegawai-pegawai imigresen tersebut tanpa melalui proses dan prosedur yang betul mengikut Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Bil 03 Tahun 2019 dan Akta Imigresen 1956/63," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Kes disiasat bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28