Kerajaan sasar RUU Profesion Kerja Sosial dibentang tahun ini

Iklan
Nancy ketika sesi soal jawab Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Rabu. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan menyasarkan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial tahun ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.

Sehubungan itu, beliau berharap semua isu berbangkit mengenai RUU itu dapat diselesaikan dan dimuktamadkan semasa proses penyelarasan draf yang sedang dilakukan oleh agensi berkaitan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sebelum ini kerajaan secara prinsip bersetuju dengan cadangan penggubalan RUU itu dan telah mengemukakan draf untuk semakan di peringkat Jabatan Peguam Negara pada Jun 2021.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk membentangkan RUU berkenaan pada sidang Dewan Rakyat akan datang, serta sama ada RUU itu mengandungi peruntukan mengenai penubuhan sebuah badan kawal selia bebas.

Iklan

Menurut Nancy, penubuhan sebuah badan bebas sememangnya telah dicadangkan dan dimasukkan ke dalam draf asal RUU itu, yang diharap dapat mengawal selia profesion merangkumi pendaftaran dan perakuan amalan kerja sosial berdaftar serta penetapan dan pematuhan piawaian praktis dan pendidikan kerja sosial.

Menjawab soalan asal Dr Kelvin yang ingin tahu jumlah peruntukan dikhususkan untuk penggajian pekerja sektor perkhidmatan sosial di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun ini, beliau berkata di bawah Bajet 2024, JKM menerima peruntukan RM308 juta bagi perbelanjaan emolumen kakitangan tetapnya.

Iklan

Menerusi peruntukan katanya JKM telah mengisi 6,517 perjawatan tetap sehingga 28 Februari lepas, merangkumi kakitangan daripada pelbagai skim meliputi perkhidmatan sosial, perkhidmatan guna sama dan pegawai jawatan kader, selain turut mempunyai 592 kakitangan sosial lantikan kontrak.

"Tahun ini, JKM mempunyai perancangan untuk melantik seramai 309 kakitangan kontrak pelbagai skim dan gred pelantikan ini adalah untuk ditempatkan di Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak, yang telah mula beroperasi pada suku tahun keempat tahun lalu setelah diumumkan penubuhannya oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2023,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28