Sistem konvensional bertentangan keredaan ALLAH - Mufti

Iklan
Mohamad Sabri

KUALA TERENGGANU - Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun menyokong caruman menerusi simpanan syariah serta saranan terhadap pembersihan 66 peratus bagi dividen simpanan konvensional Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurutnya, langkah yang diambil itu bertepatan dengan syariat Islam serta mengambil kira keberkatan simpanan untuk kegunaan generasi akan datang.

Iklan
Iklan

"Isu sebenar bukan masalah keuntungan sedikit atau banyak tetapi keberkatan dan keredaan ALLAH SWT.

"Apabila sudah ada pilihan untuk simpanan syariah mengapa masih lagi umat Islam memilih sistem konvensional berasaskan riba.

Iklan

"Terlibat dengan riba bermakna berperang dengan ALLAH SWT dan RasulNya setiap masa.

"Sudah tentu tidak akan menang," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Beliau yang senada dengan Pakar Kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman turut mengesyorkan agar pembersihan dilakukan terhadap dividen simpanan konvensional wang faedah persaraan itu.

"Fikirkan keredaan ALLAH SWT dengan sistem syariah terlebih dahulu kerana sistem konvensional bertentangan dengan keredaan ALLAH SWT.

"Rezeki bukan sekadar wang tetapi kesihatan, ketenangan, anak-anak yang soleh dan solehah serta melibatkan perkara lain lagi," ujarnya.

Sebelum ini, Zaharuddin mencadangkan pencarum KWSP beragama Islam wajar membuat pembersihan 66 peratus daripada dividen simpanan konvensional yang diumumkan bagi memperoleh pendapatan halal dan bersih.

Beliau turut mencadangkan umat Islam yang ingin membersihkan dividen KWSP agar mengasingkannya daripada simpanan pokok atau modal.

Jelas beliau, dividen yang tidak halal itu boleh diinfak kepada aspek kebajikan seperti membantu fakir miskin, memperbaiki jalan, jambatan, tandas awam dan dibelanjakan untuk kemudahan-kemudahan lain bagi kegunaan orang ramai.

Ahad lalu, KWSP mengumumkan agihan dividen 2023 sebanyak 5.5 peratus untuk simpanan konvensional dan 5.4 peratus untuk simpanan syariah.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, angka tersebut membabitkan agihan sejumlah RM50.3 bilion bagi konvensional manakala RM7.5 bilion untuk syariah.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28