Malaysia mahu Laut China Selatan kekal aman, stabil

Iklan
Anwar (lima dari kiri) bergambar bersama Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese serta pemimpin negara ASEAN pada sesi pemukiman sempena Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Government House, pada Rabu. Foto Bernama

MELBOURNE - [DIKEMAS KINI] Malaysia sebagai negara penuntut berhubung konflik Laut China Selatan, komited terhadap penyelesaian pertikaian secara aman selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal termasuk Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

Menyedari sensitiviti dan kerumitan isu itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia yakin semua pihak perlu mengamalkan kawalan kendiri dalam menjalankan aktiviti dan mengelakkan tindakan yang boleh merumitkan lagi keadaan.

Iklan
Iklan

"Kita harus terus mengekalkan Laut China Selatan sebagai laut yang aman, stabil dan perdagangan," katanya pada sesi pemukiman Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Melbourne pada Rabu.

Berhubung Myanmar, Anwar berkata, krisis yang memasuki tahun keempat itu amat membimbangkan dengan sedikit tanda kemajuan.

Iklan

Beliau berkata, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Laos dan Indonesia melalui mekanisme Troika bagi memastikan kesinambungan dalam usaha menamatkan krisis di Myanmar.

Malaysia juga menghargai sokongan konsisten Australia terhadap usaha ASEAN dan Konsensus Lima Perkara termasuk bantuan kemanusiaan yang dihulurkan kepada rakyat Myanmar, katanya.

Iklan

Mengulangi ASEAN dan Australia berkongsi visi untuk keamanan dan kestabilan di rantau ini dan seterusnya, Anwar berkata bersama-sama, ASEAN dan Australia boleh memainkan peranan penting dan menyumbang melalui menggalakkan dialog dan kewujudan bersama secara aman.

"Marilah kita bekerjasama untuk memperbaharui mekanisme yang diterajui ASEAN, meneruskan penyelesaian inklusif dan menyokong keamanan mampan. Bersama-sama kita boleh membentuk masa depan yang lebih harmoni, selamat dan lebih baik untuk semua," katanya sambil menambah bahawa Malaysia komited untuk memainkan peranan konstruktif dan bermakna. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28