Anak peladang cemerlang terima penghargaan

Iklan
Penerima anugerah yang diraikan pada majlis Anugerah Perdana YPP bagi tahun 2019 di Ibu Pejabat Pertubuhan Peladang Kebangsaan di Petaling Jaya semalam. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

PETALING JAYA - Seramai 19 anak peladang seluruh negara diberi penghargaan selepas memperoleh keputusan cemerlang bagi pengajian ijazah pertama dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Semua penerima dipilih berdasarkan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.50 ke atas.

Iklan
Iklan

Mereka diraikan pada majlis Anugerah Perdana Yayasan Pelajaran Peladang (YPP) bagi tahun 2019 yang diadakan di Ibu Pejabat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di sini semalam.

Tiga penerima utama ialah Muhammad Faez Mohd Kamaruzzaman, 26, yang memperoleh wang tunai sebanyak RM5,000, Wan Nuraini Wan Rosdi, 25, (RM4,000) dan Nur Hidayah Yusoff, 27, (RM3,000).

Iklan

Muhammad Faez yang berasal dari Hulu Selangor adalah penerima Anugerah Naib Canselor dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang memperoleh CGPA 3.96, manakala Wan Nuraini adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa (Kepujian) dari Universiti Sains Islam Malaysia dengan CGPA 3.89.

Nur Hidayah yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak pula mendapat CGPA 3.87 bagi Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Iklan

Seramai 16 anak peladang lain turut menerima sumbangan sagu hati sebanyak RM1,000 setiap seorang.

Muhammad Faez berkata, beliau sangat terkejut dipilih sebagai tiga penerima utama.

"Saya bersyukur dan gembira dengan rezeki yang tidak dijangka ini dan akan memanfaatkan wang yang diterima sebaiknya untuk membantu keluarga,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Ketika ditanya resipi kejayaannya yang sentiasa konsisten memperoleh keputusan dan CGPA cemerlang, Muhammad Faez berkata, ia banyak didorong oleh minat mendalam terhadap bidang kejuruteraan kimia yang dipelajarinya.

Menurutnya, ia bukan bidang yang mudah tetapi dia sentiasa bersikap rajin sepanjang pengajiannya agar terus dapat memupuk minat dan berjaya.

"Selain dua perkara itu, saya juga sentiasa letakkan sasaran bahawa bukan saya sahaja mesti berjaya tetapi saya perlu bantu kawan-kawan untuk sama-sama berjaya.

Penerima anugerah yang diraikan pada majlis Anugerah Perdana YPP bagi tahun 2019 di Ibu Pejabat Pertubuhan Peladang Kebangsaan di Petaling Jaya semalam. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

"Saya percaya bila buat begitu akan dapat keberkatan dan hasilnya kejayaan itu bukan untuk diri sendiri tetapi dikongsi bersama kawan-kawan dan keluarga,” katanya yang kini bekerja sebagai jurutera di Felda Global Venture (FGV) Sdn Bhd.

Muhammad Faez berharap, ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk memberi sumbangan semula kepada keluarga.

"Saya anak peladang dan saya berharap dapat bantu keluarga dalam menghasilkan teknologi yang boleh memudahkan kerja-kerja perladangan. Insya-ALLAH memang ada perancangan ke arah itu,” katanya.

Sementara itu, Wan Nuraini yang juga finalis Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-4 menyifatkan penghargaan yang diterima bukan sahaja hasil usaha keras dirinya tetapi juga berkat doa serta usaha orang sekeliling terutama ibu bapanya.

"Saya boleh berjaya kerana ada motivasi daripada ibu dan ayah, malah dengan sokongan mereka kini saya dapat meneruskan lagi pengajian dalam bidang Sarjana Perundangan Syariah.

"Hadiah wang tunai yang saya terima akan saya gunakan untuk membiayai pengajian saya dan insya-ALLAH saya harap dapat teruskan ke peringkat doktor falsafah (PhD) pada masa akan datang dan seterusnya menjadi pensyarah,” katanya.

Seorang lagi penerima, Nur Hidayah mendedikasikan penghargaan yang diterima kepada ayahnya yang merupakan ahli Peladang.

"Ayah sangat membantu dan beri sokongan padu untuk saya berjaya. Terima kasih juga kepada pihak yayasan kerana memilih saya sebagai penerima utama walaupun saya daripada bidang pendidikan.

"Saya masih menunggu untuk penempatan tugas, namun tidak menolak peluang jika mendapat tawaran atau latihan industri daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani atau agensi-agensi seperti Nafas,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Zainal Azman Abu Seman; Timbalannya, Datuk Haslina Abdul Hamid; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas yang juga Pengerusi Yayasan Pelajaran Peladang, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi dan Pengurus Besar Nafas, Ahmad Shaari.