SHAH ALAM - Malaysia memenangi kes tuntutan diskriminasi minyak sawit negara yang diperuntukkan dalam Akta Delegasi Kesatuan Eropah (EU).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, panel Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengeluarkan laporan akhir dan memuktamadkan Akta Delegasi EU yang menyekat bahan api minyak sawit adalah bersifat diskriminasi.
"Laporan akhir WTO dilihat jelas mencari kesalahan dengan penggunaan EU terhadap tanah secara tidak langsung (ILUC) untuk mengharamkan biofuel minyak sawit dan berunding dengan ekonomi lain apabila memperkenalkan langkah perdagangan baharu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Pada 10 Jun 2019, Parlimen EU meluluskan Akta Delegasi untuk menyekat dan melarang biodiesel minyak sawit menjelang 2030.
Difahamkan, Akta Delegasi adalah diskriminasi terhadap ekonomi negara membangun di Asia Tenggara, Afrika dan Amerika Latin yang menghasilkan minyak sawit.
Tindakan Parlimen Eropah meluluskan Akta Delegasi adalah perkara yang tidak menghormati norma perdagangan global dan kedaulatan negara kerana ia mengabaikan skim persijilan berasaskan kerajaan Asean, iaitu Minyak Sawit Lestari Indonesia (ISPO) dan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).
Susulan itu, Malaysia memfailkan kes berhubung diskriminasi minyak sawit kepada WTO.
Mengulas lanjut Johari berkata, EU telah bersetuju untuk mematuhi ketetapan WTO sebelum sekatan menerima biofuel minyak sawit Malaysia dilakukan.
"Kerajaan Malaysia akan memantau dengan teliti perubahan EU kepada peraturannya untuk memastikan ia selaras dengan keputusan WTO dan meneruskan prosiding pematuhan jika perlu.
"Kerajaan Malaysia tetap komited sepenuhnya untuk mempertahankan kepentingan pemain industri bahan api berasaskan minyak sawit dalam menentang halangan perdagangan dan diskriminasi," ujar beliau.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!<