CANBERRA - Lawatan rasmi sehari Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Canberra, ibu kota Australia mulai Khamis membuktikan komitmen Malaysia untuk terus mengukuh perkongsian antarabangsa dan memacu pembangunan ekonomi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam rangka lawatan rasmi selama empat hari ke Melbourne bagi menghadiri Mesyuarat Tahunan antara Pemimpin Malaysia-Australia kedua (ALM ke-2) pada 4 Mac dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia yang dihoskan oleh Australia dari 5-6 Mac 2024 sempena Ulang Tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia.
Lawatan rasmi berturut-turut ini adalah atas jemputan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.
Syarahan ini memberikan peluang kepada Perdana Menteri untuk berkongsi pandangan tentang dasar ekonomi, strategi kewangan dan perspektif Malaysia mengenai arah aliran ekonomi serantau dan global.
Ia juga menekankan kepentingan pertukaran ahli akademik dan wacana intelektual dalam memupuk persefahaman dan kerjasama antara Malaysia dan Australia.
ANU, sebagai salah satu universiti penyelidikan terkemuka di Australia, menyediakan platform berprestij kepada Perdana Menteri untuk melibatkan diri dengan ahli akademik, pelajar, penggubal dasar dan orang ramai dalam perkara yang mempunyai kepentingan ekonomi.
Seterusnya, Anwar akan melakukan kunjungan hormat kepada Tuan Yang Terutama Jeneral David Hurley, Gabenor Jeneral Komanwel Australia, di Government House, Canberra.
Pertemuan ini memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk mengukuhkan lagi persahabatan erat antara Malaysia dan Australia dan meneroka kerjasama selanjutnya merentasi pelbagai sektor.
Australia adalah rakan kongsi rapat dan penting bagi Malaysia dan kedua-dua pihak telah menjalin kerjasama erat dalam pelbagai sektor termasuk pendidikan, perdagangan dan pelaburan, pertahanan, keselamatan siber serta sains dan teknologi.
Pengukuhan hubungan dua hala antara kedua-dua negara itu bukan sahaja penting secara strategik tetapi juga membawa potensi besar untuk pertumbuhan ekonomi, pertukaran budaya dan kestabilan serantau.
Kedua-dua negara mengiktiraf nilai kerjasama dalam menangani cabaran bersama dan merebut peluang untuk mencapai kemajuan dalam dunia yang semakin saling berkait.
Pada 2023, perdagangan dua hala Malaysia dan Australia berjumlah AS$18.57 bilion (RM84.64 bilion), mengukuhkan lagi kedudukan Australia sebagai rakan dagang ke-10 terbesar Malaysia.
Sehingga Disember tahun lepas, Australia mempunyai pelaburan diluluskan di Malaysia melibatkan 582 projek, dengan pelaburan yang direalisasikan sebanyak 366 projek
Secara keseluruhan, lawatan rasmi sulung Anwar ke Australia sejak menyandang jawatan perdana menteri merupakan satu langkah penting dalam mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara dan memacu matlamat bersama iaitu kemakmuran, kestabilan dan persefahaman bersama.
Perdana Menteri dijadualkan berangkat pulang ke Malaysia petang esok. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28