Rusia, China sepakat bina loji jana kuasa nuklear di bulan

Iklan
Rusia melancarkan misi bulan pertama menerusi kapal angkasa lepas Soyuz-2 di wilayah Amur tahun lalu. - Agensi

MOSCOW - Rusia dan China sedang mempertimbangkan pembinaan loji jana kuasa nuklear di bulan mulai tahun 2033 hingga 2035.

Ketua Agensi Angkasa Lepas Rusia, Roscosmos, Yuri Borisov berkata, projek tersebut akan membolehkan penempatan dibangunkan di bulan pada masa akan datang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Rusia dan China bekerjasama dalam program ke bulan dan Moscow dapat menyumbang dengan kepakarannya mengenai tenaga angkasa nuklear.

"Hari ini kami serius mempertimbangkan projek di suatu tempat pada jangkaan tahun 2033 hingga 2035 untuk menghantar dan memasang unit jana kuasa di permukaan bulan bersama-sama dengan rakan sekerja kami dari China," kata Borisov.

Iklan

Beliau berkata, panel solar tidak akan dapat membekalkan tenaga elektrik yang mencukupi untuk menggerakkan penempatan bulan pada masa depan, namun kuasa nuklear mempunyai kemampuan itu.

"Ini cabaran yang sangat serius... ia harus dilakukan dalam mod automatik, tanpa kehadiran manusia," jelas bekas Timbalan Menteri Pertahanan Rusia itu mengenai kemungkinan rancangan tersebut.

Iklan

Sebelum ini, pegawai Rusia mendedahkan tentang rancangan bercita-cita tinggi untuk melombong di bulan, namun program angkasa lepas Rusia mengalami beberapa kemunduran dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Tahun lalu, misi bulan pertamanya dalam tempoh 47 tahun menemui kegagalan selepas kapal angkasa Luna-25 Rusia berpusing di luar kawalan dan terhempas.

Moscow berkata, mereka akan melancarkan misi bulan selanjutnya sebelum meneroka kemungkinan misi kru bersama Rusia-China dan pangkalan bulan.

Pada bulan lalu, China pula memaklumkan, langkah itu bertujuan meletakkan angkasawan China pertama di bulan sebelum tahun 2030. - Agensi

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28