MESKIPUN tidak seperti manusia normal yang lain, orang kurang upaya (OKU) sebenarnya mempunyai kebolehan lain dan keistimewaan masing-masing.
Bahkan, ada dalam kalangan mereka yang sudah bergelar hafiz walaupun berstatus OKU.
Sesungguhnya, ALLAH SWT menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian.
Begitu pun, masih ada yang musykil dengan golongan OKU dalam mengimamkan solat fardu.
Walhal, ada segelintir mereka begitu fasih dalam bacaan al-Quran dan tajwidnya.
Apakah hukumnya apabila orang yang cacat pendengaran yang bagus tajwidnya menjadi imam di rumah, surau, masjid atau di mana juga destinasi?
Dalam perihal imam, susunan turutan menjadi imam sebenarnya telah diletakkan kaedahnya oleh Nabi Muhammad SAW.
Sabda baginda SAW dalam hadis sahih riwayat Muslim: "Yang menjadi imam dalam kalangan kamu adalah yang paling mahir al-Quran (bacaan mahupun hafalan). Jika mereka sama, maka dahulukan mereka yang paling memahami sunah. Jika sama, didahulukan yang paling awal berhijrah. Jika sama, maka dahulukan mereka yang paling awal memeluk Islam."
Asal hukum mengikut turutan imam seperti hadis tersebut merupakan sunah Nabi Muhammad SAW.
Bagaimanapun, tiada halangan bagi yang cacat penglihatan mahupun cacat pendengaran untuk menjadi imam. Ia sepertimana dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad berstatus hasan yang mana Saidina Ibn Ummi Maktum, seorang sahabat yang cacat penglihatan pernah menggantikan Nabi Muhammad SAW sebagai imam.
Hanya para ulama sahaja berbeza pendapat hukumnya sama ada harus atau makruh.
Mazhab Hanafi dan Hanbali menyatakan, harus mereka yang cacat pendengaran menjadi imam, tetapi makruh hukumnya apabila cacat penglihatan.
Mazhab Maliki pula berpandangan, makruh jika imam yang cacat pendengaran menjadi imam rawatib kerana dibimbangi imam tidak mendengar teguran jika berlaku kesilapan dalam solat seperti terkurang atau tertambah rakaat.
Sementara, Mazhab Syafie tidak membezakan sama ada cacat penglihatan mahupun pendengaran kerana kedua-dua hukumnya sama iaitu harus. Ini bermakna, dibolehkan mengimamkan solat.
***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.