SHAH ALAM - Hospital Gleneagles Kuala Lumpur menerima pengiktirafan sebagai salah satu Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024 daripada 250 pusat perubatan terkemuka seluruh dunia yang lain.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hoo Ling Lee berkata, ia merupakan pencapaian sulung hospital Malaysia yang mendapat tempat di peringkat global dan ia akan meningkatkan tahap penjagaan kesihatan negara.
"Hospital Gleneagles telah diiktiraf sebagai antara hospital terbaik dunia dalam ranking yang membariskan nama-nama seperti Mayo Clinic (Amerika Syarikat), Hospital Besar Singapura dan Klinik Cleveland.
"Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan daripada Newsweek. Pencapaian ini mencerminkan kerja keras dan dedikasi seluruh pasukan kami seperti doktor, jururawat, kakitangan serta mereka yang bekerja lebih daripada itu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ranking Hospital Terbaik Dunia Newsweek 2024 diterbitkan hasil tinjauan global komprehensif yang dijalankan dalam kalangan doktor, pengamal penjagaan kesihatan profesional dan pentadbir merentasi empat benua, serta data daripada tinjauan pesakit serta metrik kualiti hospital.
Menurut Ling Lee, Gleneagles Kuala Lumpur kekal teguh dengan komitmen untuk meneruskan rawatan inovatif berpusatkan pesakit, pendigitalan dan menyediakan perkhidmatan klinikal yang komprehensif.
Tambah beliau, ia termasuk rangkaian pakar hospital yang luas merentasi pelbagai disiplin membolehkan penyediaan spektrum perkhidmatan perubatan merangkumi diagnostik lanjutan, rawatan canggih dan pembedahan khusus.
"Jadi pengiktirafan tersebut telah mengukuhkan status Hospital Gleneagles Kuala Lumpur sebagai penyedia penjagaan kesihatan bertaraf dunia dan menetapkan piawaian baru untuk kecemerlangan dalam landskap penjagaan kesihatan global.
"Kami merupakan sebahagian daripada IHH Healthcare Malaysia iaitu salah satu penyedia penjagaan kesihatan swasta terbesar negara. Rangkaian penjagaan kesihatan kami terdiri daripada 11 Hospital Pantai, empat Hospital Gleneagles, Pusat Perubatan Prince termasuk Perubatan Timberland yang dilengkapi dengan perkhidmatan sampingan.
"Ia juga termasuk Pemulihan Bersepadu Pantai serta rangkaian klinik penjagaan primer di bawah Pusat Perubatan Menara Berkembar.
"Kami sangat komited terhadap aspirasi kami untuk penjagaan dan kebaikan iaitu mengutamakan keperluan pesakit untuk menyampaikan hasil perubatan yang berkualiti," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!