SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) berhasrat untuk memberikan al-Quran dalam bentuk braille secara percuma kepada golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan Islam dengan lebih meluas.
Bagaimanapun, menurut Setiausaha Agung Pertis, Muhammad Shahril Azrie Zainudin, kos percetakan dan penyelenggaraan mesin yang mahal menyebabkan hasrat tersebut terbatas.
"Apabila kita hasilkan banyak (al-Quran braille), ia memerlukan penyelenggaraan yang mana kosnya tinggi disebabkan barangan mesin ini bukan ada di Malaysia tetapi perlu diimport dari Sweden.
"Selain itu, jika terlampau banyak mencetak dan tidak boleh lagi selenggara, mesin tersebut perlu ditukar dengan yang baharu.
"Satu mesin ini mungkin menelan kos sehingga RM50,000 termasuk dengan caj penghantaran, tempat meletak mesin di almari khas dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sehubungan itu, Muhammad Shahril Azrie berkata, Pertis memerlukan sumbangan daripada orang awam, badan bukan kerajaan (NGO) atau sesiapa sahaja untuk memberikan bantuan berkenaan.
Menurutnya, orang ramai yang ingin menyumbang boleh salurkan melalui akaun Bank Islam, 14014010086992 (Pertis) atau layari laman web https://bit.ly/braille-quran-w.
Sementara itu, Bendahari Pertis, Mat Rozi Hanapi berkata, sumbangan tersebut juga dapat membantu pihaknya untuk beroperasi di bangunan sendiri tanpa perlu menyewa dan melaksanakan pengubahsuaian.
"Saya berharap orang ramai boleh bantu kerana sumbangan ini bukan sahaja untuk mencetak al-Quran braille tetapi kami boleh mulakan operasi di bangunan sendiri tanpa perlu menyewa lagi.
"Di bangunan ini nanti kami akan menjadikan ia sebagai pusat dakwah, menganjurkan kelas keagamaan seperti membaca al-Quran, tajwid dan bahasa Arab serta seminar yang berkaitan.
"Ini kerana, fokus utama kami adalah memberi pendidikan terutamanya kepada golongan OKU penglihatan bagi orang Islam,” ujarnya.