SHAH ALAM - Konsep payung perlu dikembalikan bagi membuka minda masyarakat terutama orang Melayu atau bumiputera supaya tidak bekerja sebagai silo.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia bagi membantu usahawan kecil untuk mempunyai kemahiran dalam menguruskan aliran wang tunai dalam perniagaan masing-masing.
"Hampir 70 peratus mekanik bengkel di Kedah dan Pulau Pinang merupakan orang Melayu atau bumiputera, tetapi selepas tempoh hayat lima tahun perniagaan mereka terpaksa ditutup.
Program tersebut dihoskan oleh Ismail Adnan turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Muhammad Asri Mohd Ali dan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Norsyahrin Hamidon yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.
Selain itu, menurut Asyraf, peniaga Melayu atau bumiputera perlu melakukan perubahan paradigma dan orientasi pemikiran bagi membantu pertumbuhan ekonomi di negara ini.
Tambahnya, sebanyak 76.6 peratus sektor swasta yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi pertumbuhan ekonomi.
"Kalau dulunya KDNK dalam negara ini disumbang oleh sektor awam kerana orang Melayu atau bumiputera di awal 70-an memang akan fokus untuk bekerja dengan kerajaan.
"Sebelum ini, hampir 70 peratus sumbangan KDNK daripada sektor awam, tetapi sekarang sudah berubah dan hanya 16.7 peratus sahaja dalam bidang itu,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Asyraf memaklumkan bahawa kerajaan membelanjakan hampir RM3.2 bilion melalui Mara untuk menghantar, mendidik dan melatih pelajar ke luar negara setiap tahun supaya menjadi usahawan.
Pada masa sama, ujarnya, Mara membelanjakan RM2 bilion bagi membantu seramai 2,000 penuntut ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang-bidang tertentu.
"Kita kena tanamkan dalam pemikiran mereka, balik jangan kerja makan gaji kerana mentaliti lama adalah bekerja dengan kerajaan.
"Kita perlu ubah perkara ini kerana sektor swasta sudah menjadi penyumbang besar kepada pertumbuhan ekonomi KDNK,” jelasnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28