Peniaga patin masak tempoyak beri pelanggan nasi percuma

Iklan
Sabri melayan pelanggan yang ingin mendapatkan ikan patin masak tempoyak yang dijual berdekatan rumahnya di Kampung Telaga Daing, Kuala Nerus.

KUALA NERUS - Peniaga ikan patin masak tempoyak di Kampung Telaga Daing, Jalan Teluk Ketapang di sini mengambil inisiatif menyediakan nasi percuma kepada pelanggan yang membeli juadah di gerainya.

Nor Muniza Sabri, 37, berkata, usaha itu dilakukan bagi memenuhi hasrat untuk menyumbang kepada orang ramai melalui perniagaan diusahakan bersama keluarga berdekatan kediaman mereka.

Iklan
Iklan

"Pemberian nasi putih ini saya buat sebab saya memang simpan niat nak beri percuma kepada pelanggan. Ia juga sebagai sebahagian sumbangan dan sedekah daripada saya. Saya bersyukur sebab berjaya realisasikan hasrat itu.

"Sebenarnya dah lima, enam tahun kami berniaga ikan patin masak tempoyak, cuma kebelakangan ini saya ada promosi jualan melalui media sosial," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Jelas Nor Muniza, harga beras yang agak mahal ketika ini tidak menghalang untuk dia terus menyumbang kepada pelanggan.

Setiap pelanggan yang datang membeli ikan patin akan mendapat nasi putih percuma.

Menurutnya, setakat ini dia menyediakan sekitar 22 bungkus nasi percuma bersama ikan patin masak tempoyak di samping turut menjual sambal hitam Pahang, sambal ikan bilis tumis berasaskan tempoyak serta sambal ikan bilis pucuk ubi.

Iklan

Jelasnya, buat masa ini bapanya, Sabri Abu Bakar, 67, akan membeli 10 hingga 15 ekor ikan patin dan permintaan akan meningkat kepada 40 ekor ikan sehari pada bulan puasa.

"Untuk beras pula sekali jual sekarang ini saya masak satu periuk penuh boleh dapat dalam 22 bungkus nasi.

"Harga beras memang mahal, saya buat macam ini pun ada orang yang kompelin kata lebih baik jual, tapi saya niat memang nak sedekah lebih-lebih lagi kita dah nak masuk bulan puasa.

"Saya juga berhasrat untuk terus kekalkan pemberian nasi percuma ini sebagai sedikit sumbangan dan sedekah saya dalam berniaga," ujarnya yang turut dibantu ibu, Nawiah Zainuddin, 62, dan suami, Mohd Norul Ismawi Islahuddin, 46.

Sabri bersama juadah patin masak tempoyak yang dihasilkan menggunakan resipi asli dari Pahang.

Nor Muniza berkata, jualan juadah ikan patin masak tempoyak itu turut menyediakan perkhidmatan cash on delivery (COD) atau bayaran tunai semasa penghantaran di sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Katanya, jualan beroperasi bermula jam 11.30 pagi setiap hari, menyediakan tiga harga bagi ikan patin bergantung kepada saiz iaitu bahagian kepala dijual RM13, ekor (RM7) dan bahagian tengah badan RM7.

"Apa yang unik bagi patin masak tempoyak ini ialah tempoyak itu sendiri kita dapatkan dari Jerantut, Pahang dan Kuala Kangsar, Perak. Sekali ambil dalam 100 kilogram (kg) sebab kita susah nak dapat dan jauh.

Sabri (kiri) melayan pelanggan yang membeli ikan patin masak tempoyak di gerainya di Kampung Telaga Daing, Kuala Nerus.

"Kita tak pakai tempoyak lain sebab rasa tempoyak itu sendiri akan berbeza dan akan pengaruhi rasa asli masakan ikan patin.

"Resipi asli masakan patin ini memang daripada air tangan ayah sebab ayah saya orang Benta, Kuala Lipis, Pahang. Kira patin yang kami jual ini adalah resipi asli orang Pahang," katanya yang turut menerima tempahan bagi masakan ikan baung.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!