Berbaloi atau tidak gaji graduan TVET lebih RM4,000?

Iklan
Kerajaan pada Selasa mengumumkan sedia mempertimbangkan cadangan agar gaji bagi graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) ditawar lebih RM4,000. Gambar hiasan

PADA Selasa kerajaan mengumumkan sedia mempertimbangkan cadangan agar gaji bagi graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) ditawar lebih RM4,000.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, cadangan itu antara yang diberi perhatian dalam usaha memperkasa sektor TVET.

Iklan
Iklan

Saranan agar gaji premium untuk graduan TVET bukan berdasarkan kepada gaji minimum seperti yang dilaksanakan dalam sektor pekerjaan ketika ini tetapi ke satu tahap lebih tinggi.

Gaji yang dicadangkan ialah RM4,000 ke atas dan secara tidak langsung bertujuan menggalakkan lebih ramai pelajar untuk masuk ke institusi TVET.

Iklan

Selain itu, TVET tidak akan dimulakan selepas Tingkatan Lima sahaja tetapi selepas Tingkatan Tiga sebagai penyumbang kepada institusi tersebut.

Ini bagi membolehkan mereka dapat mengambil diploma dan ijazah dua tahun lebih awal daripada rakan-rakan yang lain.

Iklan

Ada yang bersetuju ‘gaji besar’ tersebut mampu beri dorongan kepada golongan itu untuk lebih kompeten dalam bidang masing-masing, malah ada juga yang tidak bersetuju.

SOKONG

Kemahiran tersendiri berbaloi gaji lebih RM4,000

Graduan lepasan TVET yang mempunyai kemahiran dan pengalaman tersendiri sudah pasti berbaloi jika ditawarkan gaji lebih RM4,000.

Saya sangat bersetuju dengan perkara itu kerana dilihat berpadanan dengan ekonomi negara kita ketika ini, tidak terlampau tinggi dan tak begitu rendah.

Eksekutif kanan, Hiziani Sofya, 36.

Saya berpendapat peningkatan gaji mereka ini boleh membantu mengatasi stigma terhadap laluan pendidikan dan menggalakkan lebih ramai individu memilih pendidikan serta latihan teknikal.

Ia juga sekali gus akan menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan memastikan ketersediaan tenaga kerja mahir yang diperlukan dalam pelbagai sektor perindustrian.

Melihat pengalaman saudara terdekat, mereka begitu mudah untuk mendapatkan kerja kerana memiliki skil dan peluang besar dalam pasaran pekerjaan.

Sebagai contoh, mereka yang mengambil kursus kimpalan fabrikasi dan logam memang berpotensi senang mendapat kerja kerana sijil kimpalan itu bukan setakat diperlukan dalam bidang perkapalan sahaja, malah kilang-kilang yang ada sekarang pun banyak memerlukan kemahiran demikian.

- Eksekutif kanan, Hiziani Sofya, 36

Alhamdulillah terbaik, nampak kesungguhan kerajaan sekarang dalam usaha membantu graduan-graduan TVET.

Sudah tentu setuju kerana graduan TVET harus terima pengiktirafan sewajarnya untuk kemahiran dan sumbangan mereka kepada pasaran kerja.

Mereka telah mendapat latihan khas dalam bidang teknikal dan vokasional yang sangat penting dalam pelbagai sektor industri.

Jurutera, Tarmizi Rahman, 46.

Oleh itu, menyediakan graduan TVET dengan gaji tinggi adalah satu langkah yang adil dan penting untuk meningkatkan martabat profesion mereka serta menggalakkan lagi minat dalam pendidikan teknikal dan vokasional.

Dalam sesetengah sektor industri, graduan TVET yang mempunyai kemahiran yang sangat dicari boleh memperoleh gaji yang kompetitif dan mampu untuk hidup dengan selesa.

Contohnya dalam industri kejuruteraan, teknologi maklumat, penjagaan kesihatan dan pembuatan, banyak syarikat sanggup membayar gaji yang menarik kepada pekerja yang mempunyai kemahiran teknikal dan pengetahuan yang diperlukan.

- Jurutera, Tarmizi Rahman, 46

BANGKANG

Lepasan diploma dan ijazah universiti juga perlu kenaikan pendapatan

Saya tidak setuju dengan cadangan menaikkan gaji graduan TVET kepada lebih RM4,000 kecuali kerajaan bertindak menaikkan kadar itu untuk lepasan diploma dan ijazah universiti juga.

Jika itu berlaku, pelajar lepasan Tingkatan Tiga mahupun Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak akan memilih untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Mereka akan lebih teruja untuk memasuki bidang TVET yang menjimatkan masa dan dijanjikan pendapatan lumayan selepas tamat pengajian.

Pekerja swasta, Charnan Murliah, 27.

Sedangkan pelajar lepasan diploma dan ijazah menghadapi beban pinjaman pendidikan yang ketara selepas menamatkan pengajian mereka.

Mereka juga perlukan gaji yang setaraf pendidikan bagi memulakan kehidupan profesional dan peribadi yang stabil seperti perbelanjaan sara hidup, mengetepikan dana untuk simpanan dan memperoleh jaminan kewangan jangka panjang.

Justeru, pemberian gaji sara hidup perlu juga kepada graduan universiti bagi memastikan mereka dapat menguruskan beban kewangan dengan baik dan membina masa depan yang stabil selepas menamatkan pengajian tinggi.

- Pekerja swasta, Charnan Murliah, 27

Jika gaji graduan TVET tinggi, jangan pula golongan profesional lepasan ijazah memperoleh pendapatan yang hanya mengikut ketetapan kadar gaji minimum.

Ini kerana kumpulan profesional inilah yang menjadi penyumbang besar cukai pendapatan negara.

Saya tidak setuju dengan kenaikan yang terlampau tinggi itu. Pendidikan dan kemahiran yang diperoleh graduan universiti atau kolej semasa pengajian mereka perlu turut dihargai.

Anggota polis, Wan Khairul Anuar Wan Abdul Halim, 33.

Bertahun-tahun penat lelah dalam menuntut ilmu di menara gading, akhirnya mendapat pendapatan yang hanya cukup-cukup makan sahaja.

Walau bagaimanapun, apa yang paling penting sebenarnya adalah gaji yang tinggi juga harus berdasarkan prestasi, pengalaman dan sumbangan sebenar yang dibawa oleh individu ke tempat kerja.

Memberi gaji yang adil dan telus kepada semua pekerja adalah prinsip penting dalam pengurusan sumber manusia yang berkesan.

- Penjawat awam, Wan Khairul Anuar Wan Abdul Halim, 33

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!