KONTINJEN Malaysia dijangka mengurangkan jumlah atlet ke Sukan Para ASEAN (APG) ke-10 di Filipina kerana tarikh penganjuran sukan serantau itu bertembung dengan beberapa kejohanan antarabangsa.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, jumlah atlet sebenar yang akan menyertai akan diputuskan pada bulan depan dengan mengambil kira kejohanan penting untuk atlet negara melayakkan diri ke Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo.
Katanya, sebelum ini pihaknya memutuskan menghantar 369 atlet untuk menyertai temasya yang pada asalnya dijadualkan pada Januari tetapi ditunda tuan rumah kepada 20 hingga 26 Mac.
"Kita akan bincang balik dengan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan persatuan sukan (para) sebelum mengumumkan angka sebenar pada 13 Februari ini. Ia kerana beberapa sukan seperti olahraga, memamah dan badminton mempunyai kejohanan kelayakan Paralimpik.
ARTIKEL BERKAITAN: Sukan Para Asean 2020 ditangguh ke Mac
"Bukannya kita memandang rendah APG, tetapi atlet kita perlu mengumpul mata kelayakan yang penting. Selepas menentukan jumlah penyertaan, baru kita akan menentukan sasaran pingat," katanya selepas melancarkan skuad Hockademy KL di sini hari ini.
Kebanyakan atlet terkemuka olahraga para dijangka tidak menyertai APG kerana Kejohanan Olahraga Antarabangsa Fazza dijadualkan bermula dari 14 hingga 17 Mac di Dubai, iaitu siri pertama dalam lapan siri Grand Prix dunia yang akan berlangsung sehingga Jun.
Malaysia menghantar kontinjen terbesar dengan 331 atlet apabila menjadi tuan rumah bagi edisi 2017 untuk meraih tempat kedua keseluruhan dengan kutipan 90 emas, di belakang Indonesia yang meraih 126 emas. - Bernama