SHAH ALAM - Usahawan bumiputera dijangka berdepan cabaran besar bagi menghadapi pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) apabila syarikat multinasional dari negara luar mula terlibat dengan pembidaan tender kerajaan.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Norsyahrin Hamidon berkata, walaupun ruang perniagaan turut terbuka untuk usahawan di negara ini, tetapi kemampuan untuk peniaga bumiputera menembusi pasaran antarabangsa masih menjadi isu utama.
"Adakah kita sudah bersedia? Kita lihat sendiri orang Melayu mahu bersaing dengan kaum Cina pun bermasalah. Saya bagi contoh, kilang buat paku kepunyaan orang Melayu masih tiada. Jadi sesuatu perlu dilakukan.
"Kena tahu sasaran kita melalui KEB ini apa? Kita nak lihat Melayu yang macam mana pada 2030 dan 2050 dengan ruang perdagangan di Malaysia dijangka sudah terbuka luas kepada syarikat luar.
"Kita mahu Melayu sekurang-kurangnya pendapatan isi rumah menghampiri kaum Cina," katanya semasa Wacana Sinar edisi 433 bertajuk Ekonomi Bumiputera: Sampai bila nak bincang? pada Rabu.
Program tersebut dihoskan oleh Ismail Adnan turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Muhammad Asri Mohd Ali dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian.
Menurut Norsyahrin, tindakan berkenaan bukan untuk menimbulkan salah faham antara kaum tetapi mahu menjadikan perniagaan bumiputera seiring dan berdaya saing seperti daripada kaum lain.
Dalam pada itu, Norsyahrin mendakwa, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak sepatutnya bersaing dengan perniagaan mikro.
"GLC perlu bersaing dengan syarikat dalam bidang lain atau mempunyai dana lebih besar berbanding perniagaan kecil yang dikendalikan oleh usahawan bumiputera," ujar beliau.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28