SIKAP cemburu, iri hati dan hasad dengki boleh mendorong seseorang untuk bertindak di luar kawalan sehingga mampu melakukan perbuatan melampaui batas seperti membunuh.
Gangguan emosi mampu menyebabkan seseorang bertindak agresif dan memerlukan perhatian daripada orang sekeliling sebelum perkara yang tidak diingini berlaku.
Ia susulan kejadian menyayat hati yang berlaku empat tahun lalu apabila seorang remaja berusia 18 tahun nekad membunuh sahabatnya akibat hasad dengki sekali gus mangsa disamun.
Mangsa, Siti Nur Surya, dipercayai dibunuh dengan beberapa kesan tikaman pada bahagian badan dan putus pergelangan tangan kiri.
Allahyarham ditemui dalam keadaan tertiarap di ruang tamu rumah oleh adiknya ketika pulang dari sekolah.
Pada Selasa, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun terhadap seorang wanita selepas mengaku bersalah membunuh rakannya dalam kejadian empat tahun lalu.
Selepas empat tahun kes tersebut dibicarakan, ramai yang menantikan keputusan mahkamah kerana peristiwa yang berlaku tersebut sangat tragis lebih-lebih lagi apabila mangsa dibunuh di hadapan ibu yang sedang terlantar sakit.
Tindakan kejam itu turut menerima kecaman hebat daripada pengguna media sosial khususnya disebabkan dia dan mangsa adalah rakan baik.
Menerusi peristiwa ini, ia boleh dijadikan iktibar kepada semua pihak supaya lebih berhati-hati dalam memilih sahabat dengan mengenal pasti latar belakang kesihatan atau sikap masing-masing.
Justeru, orang ramai diminta untuk mendapatkan rawatan dengan pakar jika mengalami gangguan emosi yang cenderung kepada masalah mental.