RINGGIT dibuka mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, didorong oleh sentimen lebih baik menjelang pengumuman Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), petang ini.
Pada jam 9 pagi, ringgit naik kepada 4.7145/7190 daripada 4.7295/7350 yang dicatat semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan beberapa pergerakan positif bagi ringgit, namun kekal berhati-hati berikutan data ekonomi AS yang disifatkan beliau masih memaparkan pasaran tenaga kerja yang berdaya tahan.
"Data Penggajian ADP itu tidak menepati jangkaan awal apabila mencatat 140,000 pada Februari berbanding jangkaan sebanyak 149,000. Jumlah itu menyusuli kenaikan 111,000 yang dicatat pada Januari lepas,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, Indeks Dolar AS (DXY) pula di paras rendah pada 103.36 mata selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) memberi jaminan bahawa bank pusat itu akan mengurangkan kadar utama walaupun masih perlu melihat beberapa bukti meyakinkan bahawa kadar inflasi bergerak ke arah matlamat sebanyak dua peratus.
Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain iaitu naik pound Britain pada 6.0053/0111 daripada 6.0207/0277 sebelum ini.
Ringgit juga meningkat berbanding euro kepada 5.1397/1447 daripada 5.1438/1498 namun susut berbanding yen Jepun kepada 3.1660/1692 daripada 3.1604/1643 sebelum ini.
Pada masa sama, ringgit turut diniagakan mengukuh berbanding mata wang Asean.
Ini termasuk meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2337/2519 daripada 13.2479/2704, mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.5241/5277 daripada 3.5268/5312, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 300.1/300.6 daripada 301.1/301.6 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 8.45/8.46 daripada 8.46/8.48. - Bernama