KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan memperuntukkan lebih RM3.6 juta dalam usaha memperhebatkan sektor usahawan tani di negeri ini.
Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pelaksanaan dibuat di bawah program pembangunan meliputi pembangunan tanah terbiar, tanaman padi, komoditi, industri sayur-sayuran, buah-buahan, industri kecil dan sederhana berasaskan pertanian, aktiviti hiliran industri kecil dan sederhana, pembangunan usahawan tani serta pembangunan industri kelapa.
Menurut beliau, pada tahun ini, sebanyak RM500,000 diperuntukan untuk projek pembangunan usahawan tani merangkumi skop utama bagi program tersebut ialah mempertingkatkan pendapatan usahawan kepada RM5,000 setiap bulan kepada pemohon menjalankan projek sedia ada yang berdaya saing bagi peningkatan pendapatan.
"Keutamaan diberikan kepada belia untuk menceburi bidang pertanian melalui peruntukan program-program pembangunan di bawah Jabatan Pertanian Negeri Kelantan selaras dengan pelan penggantian petani bagi meningkatkan bilangan usahawan tani muda sebagai generasi pelapis kepada golongan usahawan tani yang berumur.
"Selain itu, pihak jabatan juga menggalakkan anak muda dan belia meceburi bidang pertanian melalui Program Agropreneur Muda yang dikelolakan oleh Jabatan Pertanian Malaysia serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Zuraidin Abdullah (Chetok-Pas) pada persidangan Kali Pertama bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 2024 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Khamis.
Tuan Mohd Saripudin mengulas, mengikut rekod Jabatan Pertanian, hampir 70 peratus petani di Kelantan dipelopori golongan belia berusia 40 ke bawah dengan mengaplikasikan konsep bertani menggunakan teknologi dalam aktiviti tanaman mereka.
"Sebagai contoh, penggunaan dron bagi tujuan membaja dan meracun bagi projek berskala besar seperti padi dan pengunaan Internet of Thing (IOT) yang menggunakan telefon pintar melibatkan sektor tanaman melibatkan fertigasi,” katanya.
Beliau turut menyenaraikan program dan projek pertanian melalui agensi kerajaan negeri antaranya Program Ayam Kampung Asli Al Falah yang di tambah baik daripada Program Ayam Kampung Kacuk, Program Fertigasi Al Falah fasa 1 yang ditambah nilai bagi peserta sedia ada dengan Fertigasi Fasa 2 untuk meningkat lagi hasil Pertanian.
Selainnya, Program Pertanian dan Penternakan Pondok dan Tahfiz untuk menambah pendapatan mereka dengan penglibatan pihak Kementerian Sumber Manusia bagi Sijil Pentauliahan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Tahfiz Pertanian.
"Pelajar pondok dan tahfiz akan memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua dan Tiga dalam bidang pertanian dan penternakan yang dijalankan di pondok-pondok serta tahfiz-tahfiz terpilih selain penyediaan peruntukan RM300,000 setahun untuk kumpulan ini,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!