Lima LRA Kedah dijangka siap 2026

Iklan
Mohamad Yusoff

ALOR SETAR - Kerajaan negeri menjangkakan rizab air terawat Kedah meningkat kepada 15 peratus menjelang 2030 apabila kesemua lima loji rawatan air (LRA) siap sepenuhnya.

Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, lima LRA berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026 dan seterusnya dapat meningkatkan jumlah rizab air Kedah yang kini berada pada kosong peratus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rizab air dijangka dapat ditingkatkan dalam tempoh berkenaan susulan Kedah memiliki sumber air yang banyak.

"Bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 2018 membuat permohonan membina LRA, ketika itu disuruh lakukan kajian sebelum permohonan tersebut diserahkan kepada kerajaan Pusat.

Iklan

"Pada 15 Ogos 2016, kita telah mendapat kelulusan peruntukan khas bekalan air bagi menangani masalah bekalan air di Kedah.

"Pada Februari 2018, makmal kejuruteraan nilai (VE) bagi projek bekalan air kedah bawah Rancangan Malaysia ke 11 (RMK11) ketika itu telah diadakan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Khamis.

Iklan

Beliau menjawab soalan tambahan Rashidi Razak (Pas-Anak Bukit) mengenai perancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan rizab air terawat Kedah yang rendah susulan penduduk yang semakin meningkat.

Mohamad Yusoff berkata, projek berkenaan sepatutnya boleh dilaksanakan selepas makmal kejuruteraan nilai selesai menyiapkan laporan.

"Mungkin kerajaan ketika itu kurang yakin dengan penilaian yang dibuat lalu disuruh dibuat kajian semula.

"Sehinggalah Menteri Besar sekarang (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) ambil alih pemerintahan dan memulakan projek tersebut, yang mana tarikh milik tapak pada 2 Mei 2021,” jelasnya.

Menurutnya, ia bagi memastikan rizab bekalan air negeri meningkat seterusnya bekalan air mencukupi untuk seluruh rakyat Kedah.

Pada Januari lalu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Kedah tidak mempunyai simpanan bekalan air terawat apabila rizab marginnya dikesan sifar disebabkan isu tekanan air dan kekurangan infrastruktur.

Projek menaik taraf lima LRA membabitkan LRA Pelubang, Jenun Baru, Sungai Limau, Bukit Selambau dan Lubuk Buntar.

Dalam pada itu, Mohamad Yusoff mengakui projek LRA Sungai Limau mengalami kelewatan selepas diberikan tarikh lanjutan masa pertama yang sepatutnya siap pada 25 April tahun ini.

"Kontraktor telah mengemukakan pelan pemulihan dan nyatakan kesungguhan dengan menambah bilangan pekerja dan peralatan. Saya yakin projek ini akan siap pada tahun hadapan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Dr Mohd Suffian Yusoff (Pas-Bandar Baharu) mengenai tindakan diambil kerajaan negeri untuk mengatasi kadar air tidak terhasil (NRW), Mohamad Yusoff berkata, projek baik pulih NRW mengambil masa 15 tahun dan telah dimulakan pada Januari 2023 dan dijangka berakhir pada 31 Dis 2037.

"NRW merupakan antara projek utama dan menjadi antara punca yang memberi kesan kepada rizab air. NRW Kedah tinggi iaitu pada tahap 57 peratus termasuk Langkawi.

"Kita sasarkan dalam tempoh 15 tahun berlaku pengurangan dua peratus setiap tahun dan diharap usaha ini tercapai bagi membolehkan rizab air kita meningkat, seterusnya NRW dapat dikurangkan," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) Datuk Seri Jaseni Maidinsa berkata, pihaknya akan membantu empat negeri termasuk Kedah yang mempunyai kadar NRW tertinggi serta kadar margin rizab air terawat yang sangat rendah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!