ATLET memanah para negara, G Daneshen berjaya melayakkan diri ke Sukan Paralimpik Paris 2024, selepas meraih perak acara compound lelaki pada Kejohanan Ranking Dunia Memanah Para Fazza kelapan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), semalam.
Atlet berusia 26 tahun itu, muncul naib juara selepas tewas 133-143 kepada pemanah Austria, Michael Meier pada final kategori kelayakan Paralimpik, yang bakal berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September ini.
Terdahulu, pemanah di ranking dunia ke-32 itu, berjaya mengatasi cabaran Sakon Inkaew dari Thailand 140-139 pada separuh akhir dan Wu Chung Hung dari Taiwan 138-136 pada suku akhir kejohanan kelayakan dunia terakhir itu.
Daneshen menjadi pemanah para ketiga negara untuk melayakkan diri ke Paris 2024.
Sebelum ini, juara dunia memanah para 2019, S Suresh dan atlet wanita terbaik temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Nur Jannaton Abd Jalil, telah mengesahkan tiket ke Paris pada Kejohanan Memanah Para Kelayakan Benua Asia di Bangkok, Thailand hujung tahun lepas, masing-masing sebagai juara recurve lelaki dan naib juara compound wanita.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara bagi acara itu, Wiro Julin terlepas slot ke Paris 2024 selepas tewas tipis kepada Bulent Korkmaz dari Turkiye 141-142 pada pusingan penyingkiran 1/16. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28