MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini pada Khamis atas tuduhan ugut bunuh dan bakar ibu, mencederakan anak dan isteri serta melakukan amang seksual terhadap tiga anaknya.
Bagaimanapun, tertuduh berusia 40 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua lapan pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam dua prosiding berasingan di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman dan Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan dua pertuduhan di hadapan Azaorni dan tiga pertuduhan Rohatul Akmar, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap tiga anak perempuannya berusia 12, 14 dan 16 tahun dengan cara menunjukkan kemaluannya kepada mangsa.
Tindakan itu dilakukan di sebuah rumah di Jasin, kira-kira jam 10 malam pada 26 Februari lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (AKSTK 2017) dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama yang boleh dihukum penjara tidak melebihi 10 tahun atau didenda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Sementara itu, dalam prosiding di hadapan Azaraorni, tertuduh juga didakwa melakukan ugutan jenayah untuk membunuh dan bakar ibu kandungnya berusia 63 tahun di luar rumah pada lokasi dan waktu sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa atas empat pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga anak perempuannya berusia 12, 14 dan 16 tahun dan isterinya berusia 41 tahun pada tempat, tarikh dan masa yang sama.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, jika sabit kesalahan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim membantah sebarang jaminan disebabkan mangsa merupakan anak kandung tertuduh namun jika dibenarkan, Anis Najwa memohon dikenakan jaminan RM20,000 selain dikenakan syarat tambahan.
Sementara itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam mengakui kepada mahkamah bahawa dia tidak mampu menyediakan wang jaminan.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula kes serta lantikan peguam pada 22 April depan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!