WASHINGTON - Selepas dua abad tidak bersekutu dan dua tahun berdepan diplomasi yang mencabar, Sweden akhirnya disahkan menjadi anggota ke-32 Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson dalam lawatan ke Washington, di mana Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken akan menerima dokumen pengesahan ratifikasi secara istiadat selepas pengundian yang sengit untuk mendapatkan lampu hijau daripada semua anggota NATO.
Kristersson berkemungkinan akan menghadiri ucapan tahunan negara kesatuan oleh Presiden Joe Biden, yang telah bergelut untuk memujuk saingan Parti Republikan untuk meluluskan bantuan baharu kepada Ukraine.
Bendera biru dan kuning emas Sweden dijangka dinaikkan pada Isnin di ibu pejabat Perikatan Perjanjian Atlantik Utara di Brussels, Belgium.
Sebelum ini, Rusia telah berikrar untuk 'bertindak balas' terhadap kemasukan Sweden ke dalam NATO, terutamanya jika tentera dan aset perikatan itu ditempatkan di negara tersebut.
Sweden dan Finland yang bersekutu dengan AS dan Kesatuan Eropah (EU), secara sejarahnya telah mengelak untuk menyertai NATO secara rasmi.
Tetapi kedua-dua negara itu melancarkan bidaan bersama menyertai NATO selepas Rusia menceroboh Ukrainei pada tahun 2022.
Bagaimanapun, Finland berjaya diterima masuk NATO pada tahun 2033. Tetapi, percalonan Sweden terbantut akibat desakan Turkiye yang menuntut Stockholm bertindak tegas terjadap militan Kurdish yang berkempen menentang Ankara.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan kemudiannya menuntut tindakan mengenai kebebasan bersuara selepas insiden mencemarkan kitab suci Al-Quran di Sweden baru-baru ini. - AFP
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28