Halangan akses jentera bomba di 122 blok perumahan awam DBKL

Iklan
Datuk Nor Hisham Mohammad. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan pemeriksaan di 122 blok perumahan awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang berusia lebih 30 tahun.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pelaksanaan itu dibuat menerusi jawatankuasa Ops Sri Perumahan Awam (PA) yang ditubuhkan rentetan kes kebakaran di Flat Sri Sabah, dekat sini pada 11 Februari lalu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, tempoh pemeriksaan dibuat selama lapan hari bermula 22 hingga 29 Februari lalu.

Kata beliau, pemeriksaan terhadap kesemua unit blok perumahan awam DBKL itu mendapati laluan pelepasan diri iaitu tangga dan koridor berada dalam keadaan baik.

Iklan

"Namun begitu, terdapat halangan kepada akses jentera bomba di keseluruhan 122 blok perumahan awam DBKL tersebut, selain tidak mempunyai bekalan kuasa kecemasan untuk sistem pepasangan keselamatan kebakaran (PKK).

"Terdapat sembilan blok perumahan awam didapati dinding dua pihak atau dinding pengasing tidak mengikuti spesifikasi yang telah ditetapkan," katanya ketika sidang akhbar pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 dan penyampaian sijil perkhidmatan 30 tahun JBPM Kuala Lumpur.

Hadir sama Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Muhammad Salleh Abdul.

Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, pemeriksaan yang dilakukan turut mendapati sebuah blok perumahan awam DBKL tiada pili bomba, manakala pili bomba di satu blok lagi tidak berada dalam keadaan baik.

Tambahnya lagi, sebanyak 13 kawasan perumahan awam DBKL didapati sistem pancur kering tidak berada dalam keadaan baik, manakala sistem hos gelung di 19 kawasan perumahan tidak berada dalam keadaan baik.

Untuk itu menurut beliau, cadangan penambah baik jangka pendek telah diusulkan terutama memastikan akses jentera bomba sentiasa boleh dilalui tanpa sebarang halangan serta cadangan membuat penandaan kepada akses perkakas bomba.

Katanya lagi, cadangan lain adalah memastikan semua sistem PKK dibaik pulih dan diselenggara secara berkala.

Tambahnya, JBPM turut menyarankan agar mengkaji semula rekabentuk dinding dua pihak atau dinding pengasing yang tidak mengikuti spesifikasi dengan menaikkan dinding tersebut melepasi paras bumbung atau mengadakan binaan bumbung konkrit.

Bagi jangka panjang, beliau berkata, perumahan awam yang mempunyai sistem pancur kering disyorkan supaya sistem tersebut direkabentuk semula kepada sistem pancur menurun.

Selain itu katanya, cadangan menubuhkan pasukan bomba komuniti di kawasan perumaham awam yang boleh bertindak sebagai 'first responder'.

"Selain itu, JBPM mencadangkan mengadakan kempen dan latihan kebakaran kepada penghuni perumahan awam sekurangnya enam bulan sekali," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!