KUCHING - [DIKEMAS KINI] Hasrat bekas pegawai kanan kerajaan bersama suami ingin mengerjakan ibadah umrah pada bulan Ramadan tidak kesampaian apabila wang lebih RM30,000 yang disimpan dalam akaun simpanan didakwa lesap baru-baru ini.
Air mata Datuk Jabidah Monseri, 66, menitis apabila mengetahui wang yang dimasukkan ke akaun sebuah tabungan simpanan secara dalam talian disyaki telah dipindah ke akaun milik orang lain serta dikeluarkan dengan menggunakan mesin juruwang automatik (ATM) sejak 2018.
Menurut Jabidah, dia menyedari perkara itu pada 30 November tahun lalu selepas terjumpa semula buku akaun simpanan ketika mengemas rumah.
"Saya jarang mengemas dan buku itu terjatuh dari almari. Saya fikir adalah dalam RM30,000 lebih dan saya beritahu suami, kita boleh kita pergi buat umrah.
"Selepas buat semakan, saya hampir pengsan dan menitis air mata kerana akaun saya hanya berbaki kira-kira RM1,800," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Jabidah berkata, dia dimaklumkan bahawa ada menggunakan kad ATM memandangkan gajinya sebelum ini dimasukkan ke dalam sebuah bank.
"Saya memang ada guna akaun tabungan ini untuk masukkan wang anak-anak setiap bulan. Cuma saya silap sepatutnya selepas saya bersara, saya patut tutup akaun tersebut, tetapi manalah saya tahu.
"Pihak tabungan simpanan ada menyarankan saya buat laporan polis dan saya ada buat pada Disember 2023 namun tidak ada apa-apa tindakan sehingga perkara ini didedahkan barulah saya mendapat panggilan telefon daripada pihak polis," katanya.
Susulan daripada itu, Jabidah berkata, dia diminta membuat laporan polis sekali lagi di Balai Polis Sungai Maong, di sini.
"Saya diminta datang ke balai polis berkaitan kes tersebut dan membuat laporan semalam. Saya maklumkan juga saya tidak pernah kehilangan kad ATM malah tiada sesiapa tahu nombor pin keselamatan saya termasuk suami.
"Jadi pihak polis memaklumkan akan menjalankan siasatan termasuk akan mendapatkan maklumat daripada pihak bank dan berkenaan," katanya.
Sebelum itu, Jabidah memaklumkan hasil semakan pada penyata terperinci akaunnya mendapati wang simpanannya itu dikeluarkan menerusi 30 transaksi bermula 26 Februari 2018.
"Daripada apa yang saya lihat transaksi tersebut, saya hairan pada hari yang saya masukkan wang pada hari itu juga wang saya RM12,000 dikeluarkan," katanya.
Selain itu, hasil pemeriksaannya mendapati tujuh transaksi dibuat menerusi pemindahan dari Tabung Haji ke beberapa akaun bank manakala 23 lagi menerusi pengeluaran menggunakan mesin ATM.
Pemindahan pertama ke akaun bank pada 26 Februari 2018 berjumlah RM10,000 dan pada tarikh sama, satu pengeluaran sebanyak RM1,000 dibuat menggunakan kad ATM.
Selepas itu, enam lagi pemindahan dari Tabung Haji ke akaun bank dibuat pada 11 Mac 2018 (RM5,000), 7 Mei 2018 (RM6,000), 21 Mei 2018 (RM5,000), 30 Mei 2018 (RM4,000), 27 Jun 2018 (RM3,500) dan 1 Januari 2019 (RM5,000).
Pengeluaran menggunakan mesin ATM pula bermula 26 Februari 2018 dan berlarutan sebanyak 23 transaksi sehingga 21 Januari 2020 dengan setiap pengeluaran antara RM1,000 hingga RM1,500.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!