Kedah galak rakyat nikah sempadan daftar perkahwinan

Iklan
Halimaton Shaadiah ketika sesi penggulungan di DUN Kedah pada Khamis.

ALOR SETAR - Kedah menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam Selatan Thailand bagi menyelesaikan masalah perkahwinan rakyat Kedah di negara itu yang tidak berdaftar dengan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).

Exco Kebajikan, Wanita, Perpaduan, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, kolaborasi berkenaan adalah bagi menggalakkan pasangan yang bernikah di sempadan mendaftar perkahwinan mereka dalam negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerjasama itu membolehkan kerajaan negeri mendapatkan senarai nama rakyat Kedah yang berkahwin di selatan Thailand.

"Kita telah diberikan jaminan oleh pihak berkuasa agama Islam Selatan Thailand terutamanya Majlis Agama Islam di sana dan pihak konsulat negara di Songkhla, untuk dapatkan data berkenaan.

Iklan

"Selepas memperoleh senarai nama tersebut, kita akan kempen suruh mereka daftar perkahwinan itu di pejabat agama masing-masing,” katanya ketika sesi penggulungan di DUN Kedah pada Khamis.

Halimaton Shaadiah berkata, persefahaman itu dicapai dalam lawatan kerja pada Februari lalu melibatkan wilayah Pattani, Yala dan Songkhla dalam memastikan pengesahan status perkahwinan rentas sempadan dapat dilakukan.

Iklan

"Delegasi terdiri daripada wakil pejabat Exco Kebajikan, Wanita, Perpaduan, Keluarga dan Masyarakat; pejabat Exco Agama; pejabat Mufti; Mahkamah Syariah; Ketua Hakim Syarie serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah.

"Perjumpaan diadakan bersama antaranya Majlis Agama Islam Pattani, Majlis Agama Islam Songkhla, Pejabat Gabenor Songkhla dan Konsulat Malaysia di Songkhla,” ujarnya.

Menurutnya, data berkenaan membolehkan pihak berkuasa agama Islam di Kedah menetapkan perintah kepada pasangan terlibat untuk bertindak mendaftar dengan MAIK.

"Isteri pula tiada hak jika bercerai hidup ataupun bercerai mati. Seterusnya isteri dan anak tiada hak ke atas harta pusaka, penilaian peninggalan ayah atau suami.

"Ini termasuk anak tidak dapat belajar di sekolah kerajaan dan masalah ini membimbangkan,” jelasnya.

Beliau berkata, kesan lain termasuk menyebabkan anak tidak sah taraf tidak dapat berkahwin dalam negara kerana tidak mendaftar dengan Majlis Agama Islam negeri berikutan tiada dokumen pengenalan diri.

"Semua yang saya sebutkan itu mendatangkan masalah sosial kepada masyarakat kita pada masa akan datang. Lawatan ini adalah untuk mencari Jalan penyelesaian hak wanita dan kanak-kanak terlibat agar terbela dan dilindungi oleh undang-undang,” katanya.