IPOH - Berbaki tiga hari sebelum sesi persekolahan bermula, Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Muhammadiah Kampung Ulu Kuang, Chemor di sini berdepan masalah untuk beroperasi apabila kabel elektrik sekolah berkenaan dilaporkan dicuri.
Guru Besar sekolah tersebut, Mohd Safuan Shamlan berkata, kejadian disedari berlaku selepas seminggu cuti penggal akhir persekolahan Februari lalu apabila melibat kesan paip pendawaian diletakkan di sekitar sekolah selain fius utama turut ditanggalkan dan kabel dipotong.
Menurutnya, kejadian kecurian di sekolah tersebut bukan pertama kali berlaku kerana sebelum ini peralatan elektrik seperti kipas siling dan fius meter pernah dicuri namun kali ini paling besar melibatkan kabel elektrik.
"Pihak sekolah sudah membuat laporan polis pada 19 Februari lalu di Balai Polis Kanthan Baru memaklumkan mengenai kejadian. Sebelum ini setakat kipas atau fius yang hilang, pihak sekolah mampu nak beli tetapi kali ini kos pendawaian keseluruhan menelan belanja lebih kurang RM10,000.
"Kita mohon sumbangan daripada pihak pejabat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) untuk bantu sebahagian kos pendawaian ini sebab sekolah dah nak buka jadi perlu disegerakan dan Alhamdulillah masalah ini dapat perhatian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di SRAR Muhammadiah Kampung Ulu Kuang, Chemor di sini pada Khamis.
Mohd Safuan berkata, disebabkan kecurian itu tiga kelas melibatkan Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3 terjejas manakala kelas lain tidak menggunakan pendawaian yang sama namun mengganggu operasi sekolah kerana jumlah keseluruhan murid seramai 125 orang.
Katanya, sebagai langkah keselamatan tambahan, pihak sekolah dinasihat oleh pihak polis supaya memastikan sebahagian lampu di dalam sekolah dibuka pada sebelah malam bagi mengurang risiko jenayah berlaku.
Difahamkan, selain kabel elektrik sekolah, turut dilaporkan hilang kipas di sebuah dewan serbaguna dan kompresor udara pendingin hawa milik perpustakaan awam.
Kegiatan terbabit dipercayai dilakukan oleh penagih dadah.
Sementara itu, ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, pihaknya bersama-sama Pejabat Ahli Parlimen Tambun menyerahkan sumbangan RM7,000 bagi membantu menyegerakan proses pendawaian elektrik sekolah.
Menurutnya, kerja-kerja pendawaian sudah pun dilaksanakan dan dijangka siap sebelum sesi persekolahan bermula bagi memastikan proses pembelajaran tidak terganggu.
"Ini merupakan inisiatif segera dilakukan pihak saya dan Perdana Menteri untuk kepentingan pendidikan anak-anak di sini tanpa mengira latar belakang. Jadi kita harap dengan bantuan ini, sesi persekolahan dapat diteruskan seperti biasa apabila sekolah dibuka nanti.
"Kita juga akan mengadakan sesi dialog dengan penduduk setempat bersama pihak-pihak berkepentingan bagi membendung kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan ini," katanya.
Muhamad Arafat berkata, berdasarkan maklumat diterima, kes-kes jenayah di kampung tersebut kerap berlaku sejak akhir-akhir ini namun penduduk yang terlibat enggan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, usaha kesedaran dalam kalangan penduduk akan dilaksanakan supaya kegiatan jenayah dapat dibendung dengan segera.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!