PRETORIA - Afrika Selatan pada Rabu menggesa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya melaksanakan langkah kecemasan baharu terhadap Israel berikutan krisis kebuluran yang semakin meruncing di Genting Gaza.
Ia adalah kali kedua Pretoria meminta langkah tambahan diumumkan tribunal itu selepas tuntutan pada bulan lalu ditolak.
"Kami terpaksa kembali ke ICJ memandangkan situasi telah berubah di wilayah terkepung itu.
"Permohonan kami mungkin menjadi peluang akhir kepada tribunal itu untuk menyelamatkan penduduk Palestin yang kini kelaparan dan sudah berada di ambang kebuluran,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Difahamkan, keadaan yang semakin terdesak menyebabkan penduduk Gaza terpaksa menyerbu trak bantuan demi untuk mendapatkan makanan.
Kementerian Kesihatan di Gaza mengesahkan sekurang-kurangnya 18 orang meninggal dunia akibat krisis bekalan makanan dan air yang semakin teruk.
Menerusi keputusan ICJ pada pertengahan Januari lalu yang mendapat liputan meluas seluruh dunia, tribunal berpusat di The Hague itu mengarahkan rejim Tel Aviv supaya mengambil langkah perlu bagi mengelakkan genosid ketika melancarkan serangan di Gaza yang sememangnya mustahil untuk dielakkan.
Ia juga mengarahkan Israel supaya memberi akses kepada penghantaran bantuan kemanusiaan di Gaza, namun ia masih gagal dilaksanakan hingga kini.
Difahamkan, perintah itu digelar sebagai 'langkah kecemasan sementara' yang perlu diambil rejim Tel Aviv sementara ICJ menilai kes berhubung tuduhan melakukan genosid di Gaza yang dikemukakan Afrika Selatan dan dijangka mengambil masa selama beberapa tahun.
Pretoria mendakwa Israel melanggar Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1948 yang ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua. - AFP
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!