Hukuman penjara bekas pemandu bas dikurangkan 60 bulan

Iklan
Foto hiasan

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan hukuman penjara daripada 70 kepada 60 bulan terhadap seorang bekas pemandu bas atas kesalahan memandu secara berbahaya dan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, tiga tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan Ishak Mat Nawi, 54, untuk mengurangkan hukuman penjara itu dan denda RM20,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada 19 September 2022.

Iklan
Iklan

"Rayuan terhadap hukuman dibenarkan, oleh itu hukuman penjara selama 70 bulan dikurangkan kepada 60 bulan. Hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap (12 Disember 2021).

"Bagi hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda pula dikurangkan kepada tiga bulan,” kata hakim itu yang turut bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah.

Iklan

Prosiding itu dihadiri peguam Izleen Ismail yang mewakili Ishak dan Timbalan Pendakwa Raya Aida Khairuleen Azli.

Pada 19 September 2022, Ishak didakwa atas pertuduhan memandu bas dengan cara membahayakan orang awam dan menyebabkan kematian penunggang motosikal, Muhamad Yazid Ab Aziz, 39, di Kilometer 59 Jalan Kuala Lumpur-Kuala Lipis di Hulu Selangor pada jam 5.45 petang, 12 Disember 2021.

Iklan

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 70 bulan dan denda RM20,000 atau 12 bulan penjara jika gagal membayar denda, selepas lelaki itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Ishak kemudian memfailkan rayuan terhadap hukuman itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam, namun pada 8 Mei 2023, mahkamah berkenaan mengekalkan hukuman tersebut.

Pada 20 Oktober 2023, Ishak memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk merayu terhadap hukuman itu. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28