ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kedah merampas Alat Timbang Kenderaan (ATK) di sebuah kilang kelapa sawit di Padang Terap melalui satu operasi bersepadu dijalankan bersama syarikat yang dilantik (SDL) pada Rabu.
Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, hasil pemeriksaan mendapati alat timbang yang digunakan tidak ditentusahkan dan proses ujian yang dijalankan menunjukkan ATK berkenaan melebihi had selisih yang dibenarkan.
Katanya, pasukan penguat kuasa KPDN telah menyita ATK termasuk peralatan yang berkaitan dengan nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM37,500.
"ATK tersebut dipercayai digunakan untuk menimbang kelapa sawit yang dibeli daripada petani dan ejen di sekitar kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Menurutnya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 16 dan Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972 [Akta 71] iaitu menggunakan dan memiliki timbang yang tidak seimbang dan alat yang tidak ditentusahkan.
"Jika disabitkan dengan kesalahan setiap satu boleh didenda tidak melebihi RM40,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan timbang, sukat atau alat timbang itu boleh dilucut hak," ujarnya.
Menurutnya, KPDN memandang serius kesalahan terbabit yang melibatkan ketelusan dalam urusan jual beli.
"KPDN memberi amaran keras dan menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penipuan ini.
"KPDN juga sentiasa komited dan akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan bagi mempergiat serta mempertingkatkan kawal seliaan dan operasi ke atas pematuhan penggunaan alat timbang dan sukat dalam urusan perniagaan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28