Usaha laksana Akta Pendanaan Politik sedang berjalan

Iklan
Syed Ibrahim Syed Noh

SHAH ALAM - Segala usaha bagi memastikan Akta Pendanaan Politik dapat dilaksanakan di negara ini sedang diperhalusi dan berjalan lancar.

Pengerusi Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia - Integriti, Governans Dan Anti-Rasuah (IGAR), Syed Ibrahim Syed Noh berkata, perkara itu juga ada dibincangkan di peringkat kumpulan rentas parti dan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Dewan Rakyat.

Iklan
Iklan

"Dalam jawatankuasa khas ini juga, ada dalam kalangan pembangkang yang turut serta seperti (ahli Parlimen) Arau (Datuk Seri Dr Shahidan Kassim) dan Besut (Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh).

"Jadi maknanya libat urus ini berjalan. Saya galakkan supaya ramai daripada kalangan kita (ahli Parlimen) terlibat sama memberikan pandangan dan memastikan akta itu berjalan dengan betul dan tepat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Ledang daripada Pakatan Harapan.

Iklan

Beliau berkata demikian sewaktu mencelah pertanyaan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) kepada Perdana Menteri tentang status penggubalan Akta Pendanaan Politik selepas ia dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada 18 September tahun lalu berkata, Kabinet bersetuju untuk menggubal satu Akta Pendanaan Politik.

Iklan

Dalam ucapannya di Dewan Rakyat, Azalina memaklumkan bahawa Kabinet merujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk mempertimbangkan tujuh skop dasar yang dirangka oleh Kabinet.

Jelasnya, tujuh skop atau parameter dasar yang dirangka itu adalah baik tetapi berharap Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan JPKP untuk Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi akan melibatkan semua pihak berkepentingan secara aktif sebelum rang undang-undang itu dibentangkan ke Parlimen.

Ujar beliau, ia terutamanya melibatkan pertubuhan masyarakat sivil yang sekian lama aktif berkempen dan mencadangkan butiran untuk Akta Pendanaan Politik yang mantap.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!