Emosi Attar stabil, jalani kaunseling dua minggu sekali

Iklan
Attar Azim Syukran Jamil (kiri) satu-satunya mangsa terselamat dalam kemalangan mengorbankan empat ahli keluarganya 2 Mac lalu.

IPOH - Seorang kanak-kanak yang menjadi satu-satunya mangsa terselamat dalam kemalangan mengorbankan empat ahli keluarganya di Kilometer 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi, Kuala Krai, Kelantan minggu lalu telah menjalani sesi kaunseling bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Salbiah

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, sesi kaunseling yang dimulakan pada Isnin lepas akan diadakan setiap dua minggu sekali di kediaman datuk mangsa, Attar Azim Syukran Jamil, 9, di Felda Trolak Utara dekat Sungkai.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan maklum balas sesi pertama yang dijalankan, didapati emosi kanak-kanak itu dalam keadaan baik dan stabil.

"Buat permulaan ini, kita akan lihat perkembangan emosinya sama ada berada dalam keadaan tertekan atau sebaliknya.

Iklan

"Sekiranya sudah stabil, sesi berkenaan boleh dihentikan," katanya kepada pemberita sempena Bicara Goal & Gincu dan Pelancaran Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak 2024 di Hotel Kinta Riverfront di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Perak, Jamilah Zakaria.

Salbiah (empat dari kanan) menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Perak 2024 di sini pada Khamis.

Iklan

Salbiah berkata, hasil pemantauan dilakukan, keadaan Attar Azim yang kini yatim piatu dibantu sistem sokongan keluarga yang baik.

Katanya, selain kehadiran datuk dan nenek, keprihatinan ibu dan bapa saudaranya banyak membantu perkembangan emosinya.

"Kita akan membuat pemantauan berterusan akan tahap emosinya kerana di peringkat awal, kanak-kanak seusianya tidak begitu terkesan sehinggalah satu tahap dia akan mula rasa kehilangan itu.

"Jadi sepanjang tempoh itu jika ada keperluan mendesak, kita akan pergi kepada sesi-sesi lanjutan lain yang lebih bersesuaian dan diperlukan," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri melalui JKM akan meluluskan bantuan bulanan di bawah bantuan kanak-kanak bagi tujuan persekolahan Attar Azim.

"Bantuan akan diselaraskan sebaik kita dapat kenal pasti penjaga sebenar kepada adik Attar kerana kita dimaklumkan, keluarga sebelah arwah ayahnya mahu menjaga, cuma belum dimaklumkan siapa," katanya.

Dalam kejadian jam 1.40 petang pada 2 Mac itu, Syukran Jamil Ab Hamid dan isteri, Noor Aishah Razali masing-masing berusia 35 tahun bersama anak mereka, Lufya Adeena berusia setahun disahkan terkorban di lokasi kejadian.

Seorang lagi anak mereka, Ahya Rafiqi, 6, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Attar Azim yang turut terlibat dalam kejadian itu terselamat dan hanya mengalami kecederaan.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika Perodua Myvi dipandu Syukran Jamil dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang bertembung dengan sebuah Nissan March dipandu warga Thailand yang masuk ke laluan dari arah bertentangan.

Kesemua mereka semasa kejadian dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menziarahi ahli keluarga dan bercuti di Kota Bharu, Kelantan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!