Bank Negara Malaysia kekal OPR pada 3.00 peratus

Iklan
BNM mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus pada mesyuaratnya hari ini.

BNM berkata, ekonomi global terus berkembang meskipun secara sederhana, disokong oleh permintaan dalam negeri berikutan aktiviti perdagangan yang bertambah baik, serta keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan di beberapa negara terus menyokong aktiviti penggunaan.

Iklan
Iklan

"Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi serantau dijangka bertambah baik manakala pertumbuhan China mungkin kekal sederhana berikutan pasaran hartanah yang terus lemah," kata bank pusat dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ia berkata, perdagangan global dijangka kukuh apabila momentum pemulihan kitaran menaik teknologi bertambah baik.

Iklan

BNM berkata, inflasi keseluruhan dan inflasi teras global menurun sedikit pada bulan-bulan kebelakangan ini dengan pelonggaran monetari di beberapa negara mungkin berlaku pada separuh kedua tahun ini.

Walau bagaimanapun, pendirian dasar monetari global dijangka kekal ketat pada tempoh terdekat, dengan inflasi terus berada pada paras melebihi purata, katanya.

Iklan

Sementara itu, prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan volatiliti dalam pasaran kewangan global.

Pada masa hadapan, bank pusat itu mengunjurkan pertumbuhan meningkat pada 2024, didorong oleh pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan, dengan pertumbuhan eksport menjadi positif selepas menguncup sejak Mac 2023 dan akan terus disokong oleh perdagangan global yang lebih kukuh.

Ia berkata, ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat, manakala pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

"Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional, serta lebih banyak pelaburan yang direalisasikan.

"Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan serta penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar," kata bank pusat itu.

Sementara itu, pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan yang lebih pantas bagi projek sedia ada dan projek baharu.

Mengenai inflasi, bank pusat itu berkata, kedua-dua inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing berada pada 1.5 peratus dan 1.8 peratus pada Januari 2024, selari dengan jangkaan.

Ia berkata, inflasi pada 2024 dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan permintaan yang stabil dan tekanan kos yang terkawal.

"Bagaimanapun, prospek inflasi terus sangat bergantung pada pelaksanaan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global," jelasnya.

Mengenai ringgit, BNM berkata, walaupun asas-asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia adalah baik, ringgit pada masa ini berada di bawah nilai saksama.

"Kerajaan dan BNM sedang menyelaraskan tindakan untuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk membawa balik dan menukarkan pendapatan pelaburan asing mereka kepada ringgit.

"Langkah ini akan menyebabkan aliran masuk yang lebih besar, lantas memberikan sokongan untuk nilai ringgit yang lebih kukuh. Pada tempoh jangka sederhana, pembaharuan struktur yang berterusan akan memberikan sokongan yang lebih berpanjangan kepada ringgit," katanya.

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan.

"MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan, serta akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil," kata bank pusat itu. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28