PUTRAJAYA - Masalah dalaman dan kerenah birokrasi dalam menyalurkan peruntukan dikenal pasti punca sesetengah kementerian gagal melaksanakan kerja serta program yang dirancang pada tahun lalu.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku.
"Kita mengagihkan wang kepada setiap kementerian pada Januari tetapi ada sesetengah kementerian menyalurkannya kepada agensi pada Mei," katanya.
Menurutnya, tender hanya boleh dijalankan tiga atau empat bulan selepas itu. Jadi sudah bulan September atau Oktober dan wang dikeluarkan pada Disember.
"Oleh sebab itu, kerja-kerja yang sepatutnya dijalankan pada tahun 2019 hanya boleh dilakukan pada tahun ini," katanya.
Beliau berkata, pihaknya telah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan ia tidak berulang.
"Itu masalahnya yang kita tidak puas hati," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.
Terdahulu Guan Eng dalam ucapannya berkata, perang perdagangan yang telah reda antara Amerika Syarikat (AS) dan China akan merancakkan ekonomi dunia sekali gus memberi manfaat kepada Malaysia.
"Pada 2019, ekonomi negara tumbuh dengan baik berbanding tahun sebelumnya dengan mencatatkan RM8.8 bilion aliran portfolio asing ke dalam negara," katanya.
Selain itu katanya, bagi mendepani cabaran 2020, kerajaan amat serius memacu ekonomi digital.