KOTA BELUD - Pembinaan Kompleks IADA Kota Belud yang akan menjadi mercu tanda kepada pembangunan industri padi dan beras negara dijangka akan dapat disiapkan menjelang tahun 2027.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, kerja-kerja tapak sudah selesai dilaksanakan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dijangka akan dapat membuka tender projek pada tahun ini.
Menurutnya, sekiranya projek berkenaan berjaya ditender pada tahun ini, Kompleks IADA Kota Belud dijangka akan dapat disiapkan pada tahun 2027.
"Saya memberikan komitmen bagi mengadakan pertemuan bersama Menteri Kerja Raya Sabah bagi membincangkan alternatif untuk mempercepatkan lagi proses tender tersebut.
"Kompleks ini bukan sahaja akan menjadi mercu tanda kepada pembangunan industri padi dan beras negara, malahan akan menyumbang kepada pembangunan kawasan yang lebih holistik di mana aktiviti pembangunan kepada pesawah dapat diuruskan dengan lebih cekap.
"Kompleks ini juga akan menjadi pusat latihan kepada pesawah bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pembangunan industri padi, bengkel jentera pertanian, makmal analisis pertanian dan lain-lain,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Pejabat IADA Kota Belud pada Khamus.
Pembinaan Kompleks IADA tersebut adalah selaras dengan usaha Kerajaan untuk memperkasa peranan IADA dan membantu pembangunan negeri Sabah khususnya sektor tanaman padi di daerah Kota Belud.
Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM36 juta pada tahun 2022 bagi tujuan pembinaan Kompleks IADA.
Tambah Arthur, Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan juga telah berjaya membawa masuk benih padi baharu Siraj MR 297 dan MR 269 ke negeri Sabah dengan kerjasama MAFFI untuk peningkatan SSL negeri Sabah dan pendapatan pesawah tempatan.
"Inisiatif ini akan memberi lebih banyak pilihan benih padi kepada pesawah kita di Sabah. Buat masa sekarang, jenis padi tersebut berada di plot percubaan Pusat Penyelidikan Pertanian Tuaran bagi melihat keberkesanan dan potensi pengeluarannya.
"Saya yakin benih padi yang baharu ini akan dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi dalam masa yang sama meningkatkan pendapatan pesawah,” jelasnya.
Arthur turut berkesempatan beramah mesra bersama para pesawah di sekitar Kota Belud dan menyerahkan replika cek Pembangunan Kawasan Sawah Padi setakat Mac 2024 serta jentera pembajak dan jentuai padi Koperasi Pesawah Kota Belud.
Beliau juga menyampaikan bantuan bagi pembelian pam air dengan nilai keseluruhan berjumlah RM707,772 yang memberi manfaat kepada kira-kira 600 pesawah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!