Tiga bekas pegawai, anggota TUDM terima anugerah pangkat secara posthumous

Iklan
Mohd Asghar (tengah) bersama waris pegawai dan anggota yang menerima anugerah pangkat secara posthumous di Markas Tentera Udara, Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur pada Khamis. Foto: Ihsan TUDM.

KUALA LUMPUR - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengumumkan penganugerahan pangkat secara posthumous kepada waris pegawai dan anggota yang terkorban semasa bertugas.

TUDM dalam satu kenyataannya berkata, penganugerahan pangkat secara posthumous merupakan satu tanda penghargaan pihak organisasi kepada pegawai dan anggota TUDM yang telah meninggal dunia ketika bertugas.

Iklan
Iklan

Katanya, anugerah tersebut juga diberikan atas kecemerlangan serta sumbangan bakti sepanjang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya TUDM.

"Penghargaan seumpama ini menzahirkan keprihatinan serta tanggungjawab organisasi dan pucuk pimpinan TUDM secara berterusan terhadap kebajikan warganya termasuk waris-waris pegawai serta anggota yang telah meninggal dunia," katanya pada Khamis.

Iklan

Majlis penganugerahan itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

TUDM berkata, penganugerahan pangkat secara posthumous itu diberikan kepada dua pegawai dan seorang anggota lain-lain pangkat TUDM.

Iklan

Menurutnya, penerima tersebut adalah Allahyarham Mejar Mohamad Izham Ibrahim yang dinaikkan pangkat kepada Leftenan Kolonel TUDM, sementara Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy dinaikkan ke pangkat Mejar TUDM dan Allahyarham Koperal Udara Mohd Syuib Bidin dinaikkan ke pangkat Sarjan Udara.

Katanya, penganugerahan pangkat tersebut telah disampaikan kepada waris-waris penerima.

Untuk rekod, Allahyarham Mejar Mohamad Izham terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kampung Melayu, Subang ketika dalam perjalanan pulang dari tempat bertugas ke kediamannya.

Sepanjang 23 tahun perkhidmatan di dalam TUDM, beliau pernah berkhidmat sebagai juruterbang pesawat helikopter Nuri di beberapa buah skuadron penerbangan selain dari jurulatih penerbangan di Institut Penerbangan 2 Kolej Tentera Udara dan Timbalan Ketua Tim Projek Perolehan Helikopter Pelbagai Guna di Markas Tentera Udara.

Sementara Allahyarham Kapten Mohamad Affendi merupakan juruterbang dari No 6 Skuadron yang terkorban dalam insiden kemalangan pesawat Hawk 108 di Pangkalan Udara Butterworth.

Manakala Allahyarham Koperal Udara Mohd Syuib terkorban dalam insiden kemalangan ketika latihan menembak senjata bantuan dan bom lempar di lapang sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.

Dalam majlis sama yang diadakan di Markas Tentera Udara, Wisma Pertahanan, dekat sini turut berlangsung majlis penyerahan cek tuntutan kematian Skim Takaful Berkelompok Angkatan Tentera Malaysia (STBATM).

Penyerahan cek STBATM diberikan kepada balu Allahyarham Mejar Mohamad Izham.

Hadir sama pada majlis itu adalah Asisten Ketua Staf Operasi dan Strategi, Mejar Jeneral Datuk Saharuddin Mansor TUDM dan Asisten Ketua Staf Perancangan dan Pembangunan, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Tarminzi Mustapha.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28