PAPAR - Kerajaan negeri telah bersetuju untuk melakukan pembenihan awan bagi mengatasi musim kemarau yang dihadapi di Sabah ketika ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri pada Rabu.
"Dalam mesyuarat Kabinet negeri bersama Ketua Menteri juga bersetuju melakukan pembenihan awan bagi mencetuskan hujan di kawasan hulu berbukit yang menjadi tempat tadahan air yang membekalkan air kepada sungai dan seterusnya boleh memberi bekalan air kepada loji di negeri ini.
"Pembenihan awan akan dilakukan dalam masa terdekat.
"Pihak jabatan daerah bersama Jabatan Hal Ehwal Dalam Negeri dan juga jawatankuasanya bersama Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan melihat kebolehlaksanaan pembenihan awan tersebut.
"Jadi memang kita minta ia dilaksanakan dalam masa terdekat memandangkan kemarau yang berlaku ini adalah berpanjangan dan kita menjangkakan dalam dua bulan lagi keadaan ini berterusan," katanya kepada pemberita selepas melawat Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau di sini pada Khamis.
Sementara itu, mengulas mengenai loji yang dilawatinya itu, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, LRA Limbahau sudah tidak beroperasi selama 20 hari disebabkan kemarau yang berpanjangan.
"Disebabkan itu juga air laut masuk ke dalam sungai ini sehingga ke kawasan 'intake' air yang ada sekarang.
"Jadi disebabkan tinggi tahap kemasinan air sungai iaitu jumlah bacaan 2,899 miligram (MG) per liter yang jauh melebihi had maksimum dibenarkan iaitu 120 mg per liter.
"Jadi loji ini tidak dapat berfungsi dan kita terpaksa menggunakan air dari LRA Kogopon untuk kita bekalkan kepada penduduk sekitar Papar," katanya.
Tambah Ahli Parlimen Putatan itu lagi, LRA Limbahau mempunyai kapasiti sebanyak 10 juta liter sehari membabitkan kira-kira 52,000 penduduk yang bergantung kepada bekalan air di loji tersebut.
"Jadi dengan operasi ini menyebabkan kekurangan bekalan air di Papar.
"Saya juga telah mengarahkan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan meminta kerjasama Pejabat Daerah Papar untuk mengagihkan air di kawasan terjejas agar gangguan bekalan air disebabkan kemarau dan kemasukan air masin ini dapat dikurangkan," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28