Larangan merokok: Tiada laporan halang tugas penguatkuasaan

Iklan
Abd Jalil (barisan depan, tengah) dan Timbalannya, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri (barisan depan, empat kiri) bersama sebahagian pesara polis dan penjawat awam yang diraikan pada Majlis Meraikan pesara Polis Kontinjen Pahang 2019 di sini semalam.

KUANTAN - Polis belum menerima sebarang laporan berhubung gangguan atau menghalang tugas oleh mana-mana inspektor kesihatan sepanjang perlaksanaan penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Pahang, Datuk Abd Jalil Hasaan berkata, sekiranya berlaku ancaman, ugutan atau kekerasan fizikal ketika menjalankan tugas, petugas terlibat perlu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga semalam polis belum menerima laporan daripada inspektor kesihatan atau Jabatan Kesihatan Negeri Pahang membabitkan halangan sepanjang penguatkuasaan itu dilaksanakan setakat ini.

"Setakat ini kita juga tidak menerima laporan daripada orang awam yang tidak berpuas hati terhadap tindakan pihak berkuasa dalam perlaksanaan penguatkuasaan tersebut.

Iklan

"Bagi kes ugutan atau ancaman terhadap inspektor kesihatan, sekiranya laporan dibuat, kita akan siasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah tapi setakat ini belum ada," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Meraikan pesara Polis Kontinjen Pahang 2019 di sini semalam.

Iklan

Abd Jalil berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melaksanakan undang-undang termasuk Jabatan Kesihatan dalam penguatkuasaan larangan merokok yang dilaksanakan sekarang.

Dalam perkembangan lain Abdul Jalil berkata, pihaknya juga tidak menerima laporan atau aduan oleh mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan pemasangan tanglung atau hiasan sempena sambutan Tahun Baru Cina di negeri ini.

Katanya, setakat ini tiada masalah timbul berhubung perkara itu dan baginya perkara-perkara berkaitan budaya dan perayaan ini tiada isu di negeri ini.

Menyentuh berhubung majlis meraikan pesara polis itu, Abdul Jalil berkata, ia diadakan bagi meraikan 175 pesara polis dan kakitangan awam yang bersara tahun lalu.

Menurutnya, ia sebagai tanda penghargaan pasukan terhadap jasa dan khidmat bakti mereka sepanjang bertugas di Kontinjen Pahang.

"Sebagai menghargai mereka, kita sampaikan sijil penghargaan dan saguhati berupa Sijil Simpanan Premium dan program ini akan diteruskan bagi mereka yang akan bersara tahun ini,” katanya.