KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Institut Pendidikan Mara (IPMA) akan memulakan Program Jelajah Anti Rasuah Siri 1/2024 di Institut Kemahiran Mara (IKM) Kuala Lumpur sebagai lokasi pertamanya.
Program anjuran Unit Integriti Mara dengan kerjasama Rasuah Busters itu akan memberi fokus kepada IPMA di kawasan Lembah Klang sebelum siri jelajah berkenaan bergerak ke Perak, Pulau Pinang dan Kedah selepas Ramadan.
Ketua Penolong Pengarah Unit Integriti Mara, Haznita Hashim berkata, program yang dimulakan sejak tahun lalu bersama Rasuah Busters di MRSM Batu Pahat dan Pontian dekat Johor itu akan diteruskan kerana ia dapat memberi pendedahan tentang rasuah kepada penuntut dan pelajar di bawah IPMA.
"Perancangan awal, program Jelajah Anti Rasuah ini akan ke semua IPMA terutamanya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); Institut Kemahiran Mara (IKM) serta Kolej Polytech Mara (KPM) seluruh negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Dalam siri jelajah kali ini, seramai kira-kira 100 penuntut IKMKL hadir mendengar ceramah dan penerangan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Norhayati Nordin.
Sementara itu, Pengarah Institut Kemahiran Mara (IKM) Kuala Lumpur, Rusli Abdul Rahman berkata, pihaknya menyambut baik usaha mengadakan siri jelajah berkenaan di IKM Kuala Lumpur.
"Tahun ini IKM Kuala Lumpur menyambut ulang tahun jubli emas ke-50 dan sudah pasti sebagai sebuah institut yang banyak melahirkan tenaga profesional dalam kemahiran, setiap pelajar juga perlu mempunyai jati diri agar tidak mendekati rasuah.
"Selalu kita beritahu pelajar walaupun mereka akan menjadi seorang profesional satu hari nanti, kalau mereka terlibat dengan amalan rasuah maka habislah kerjaya mereka malah nama baik institusi dan keluarga juga akan tercemar,” ujarnya.
Menurut Rusli, IKM Kuala Lumpur kini mempunyai 700 pelajar yang menuntut dalam program sijil dan diploma dari semester satu hingga enam manakala selebihnya terlibat dalam program industri.
Bagi Presiden Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) IKMKL, Razita Nursyasya Mohd Rahimi berkata, ceramah dan pendekatan Rasuah Busters memberikan penerangan berbeza dan mudah difahami.
"Sebagai komuniti pelajar yang menggerakkan usaha ini dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), kami yakin penuntut di sini dapat membina asas untuk terlibat dengan kempen-kempen yang menegakkan prinsip dan menolak budaya rasuah,”katanya.
Tambahnya, AMAR berhasrat untuk mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) selepas ini.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28