KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu tidak pilih kasih atau mempersoalkan ideologi politik seseorang terutama dalam memberikan pelbagai bantuan kepada rakyat di negeri ini.
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, semua bentuk bantuan kepada rakyat adalah tanggungjawab kerajaan terhadap mereka yang memerlukan.
"Pelbagai bantuan kepada rakyat yang layak diberikan termasuk bantuan persekolahan, bantuan Hari Raya Aidilfitri dan sebagainya.
"Jadi setiap bantuan yang ada diagih secara menyeluruh tanpa mengira kaum, bangsa dan agama serta fahaman politik," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha dan tindakan kerajaan negeri untuk padamkan api sengketa dalam kalangan rakyat.
Katanya, dalam usaha memastikan semua rakyat mendapat pembelaan tanpa disisihkan, kerajaan melantik barisan ahli jawatankuasa (AJK) Majlis pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) agar dapat menjadi mata dan telinga kerajaan.
"Ini sebab MPKK adalah antara pemimpin yang paling dekat dengan penduduk kerana mengenali di antara satu sama lain memandangkan majoriti yang dilantik terdiri daripada penduduk tempatan.
"Mereka selalu diingatkan agar menjalankan tugas dengan penuh amanah dan tidak meminggirkan mana-mana pihak yang layak mendapat pembelaan serta jangan sesekali pilih kasih di bawah jagaan masing-masing.
"MPKK tidak seharusnya mengamalkan sikap pilih kasih sebagai contohnya hanya membantu ahli keluarga sahaja dan mereka selalu digesa agar dapat turun dari rumah ke rumah penduduk di kawasan masing-masing," katanya.
Sementara itu, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, kerajaan bekerja keras untuk memastikan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik berpuas hati.
"Alhamdulillah, dalam tempoh dua tahun memerintah, kami menerima maklum balas yang baik daripada semua rakyat tidak mengira kaum, agama dan fahaman politik.
"Mereka berterima kasih dan meluahkan rasa syukur kepada kerajaan kerana tidak pernah pilih kasih serta melayan mereka semua sama sahaja," katanya.