KL Rovers berubah angin, mahu beraksi di Singapura

Iklan
KL Rovers mahu mencari cabaran baharu beraksi dalam saingan Liga Singapura. (Gambar kecil: Aznor)

NAIB juara Liga M3 musim 2022 dan 2023, Kuala Lumpur (KL) Rovers FC membuat kejutan apabila meluahkan hasrat untuk beraksi dalam kancah bola sepak di negara jiran, Liga Premier Singapura (SPL) pada musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aznor Dzulkarnain Aziz berkata, langkah tersebut sudah dimaklumkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi surat rasmi yang dihantar kepada Setiausaha Agungnya, Datuk Noor Azman Rahman pada petang tadi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, KL Rovers mahu mencari cabaran baharu selepas dua musim bersaing dalam liga tempatan dan melihat negara jiran di Selatan tanah air sebagai destinasi yang sesuai.

"Surat sudah di emel kepada setiausaha agung FAM petang tadi. Turut dilampirkan ialah surat permohonan KL Rovers kepada FAS (Persatuan Bolasepak Singapura).

Iklan

"Kami berharap permohonan ini mendapat sokongan daripada FAM. Ia bagi memberi lebih banyak peluang kepada pemain-pemain tempatan untuk bersaing dalam liga negara jiran," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Difahamkan, pengurusan KL Rovers telah memohon kepada FAS untuk mengisi slot pasukan ke-10.

Iklan

Setiap pasukan yang memohon slot berkenaan perlu mengikut garis panduan SPL dan Peraturan Lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Surat KL Rovers kepada FAM mengenai hasrat untuk beraksi dalam saingan Liga Singapura.

Sebagai rekod, KL Rovers muncul naib juara di belakang Imigresen FC dalam saingan Liga M3 musim 2023.

Kedudukan itu membuka peluang kepada KL Rovers memohon Lesen Kebangsaan bagi beraksi di Liga Super musim 2024/25.

Wakil KL Rovers pada Isnin lepas menghadiri temu duga yang dijalankan oleh First Instance Body (FIB).

Turut hadir temu duga itu termasuk wakil dari Imigresen FC, Harini FT dan Perlis United FC.

Bagaimanapun Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat pada Rabu memaklumkan Perlis United FC dipilih untuk mengisi slot ke-14 saingan Liga Super musim ini.

Kelab dari Utara tanah air itu bagaimanapun perlu memenuhi syarat tambahan yang bakal berakhir akhir Mac ini.

Kekosongan satu slot Liga Super itu susulan kegagalan Kelantan untuk mendapat Lesen Kebangsaan musim ini setelah gagal memenuhi beberapa kriteria FIB.

Sebagai rekod, dua pasukan negara pernah beraksi di Singapura pada musim 2015 dan 2016 melibatkan skuad Harimau Muda A serta Harimau Muda B.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!