Anwar percaya persaingan kuasa besar boleh dikurangkan

Iklan
Anwar menyampaikan syarahan umumnya di Universiti Nasional Australia yang dihadiri lebih 500 pelajar pada Khamis. Foto EPA

CANBERRA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis berkata, beliau tidak boleh menerima ‘pandangan fatalistik dunia’ bahawa persaingan kuasa besar telah menjadi ciri struktural hal ehwal serantau dan tiada apa yang boleh dilakukan untuk menyederhanakannya.

"Dengan mengusahakan kekuatan masing-masing dan hubungan unik dengan negara utama di rantau ini, kita boleh mencapai sesuatu yang bererti untuk Asia Pasifik,” katanya.

Iklan
Iklan

Anwar berkata demikian semasa syarahan umumnya pada program 2024 Gareth Evans Oration bertajuk 'Navigating Geopolitical Currents: Malaysia and Australia’s pivotal role in Asia Pacific' di Universiti Nasional Australia (ANU) di sini, yang dihadiri lebih 500 pelajar.

Beliau berkata, tindak balas rantau itu terhadap kebangkitan China akan menjadi penentu kritikal, sama ada rantau ini akan dicirikan oleh detente atau perbalahan.

Iklan

"Untuk menyelaraskan strategi kita dengan berkesan, kita perlu mengamalkan empati, untuk memahami perspektif mereka, untuk melihat bagaimana orang lain melihat kita.

"Bagi pemimpin China, wajar bagi mereka untuk lebih tegas dalam menegakkan kepentingan mereka. Ekonomi yang berkembang secara semula jadi membawa kepada pengaruh diplomatik yang lebih besar dan ketenteraan yang lebih kuat.

Iklan

"Di mata mereka, reaksi buruk terhadap kenaikan China - dari segi ketenteraan, ekonomi, dan teknologi - tidak lain hanyalah cubaan untuk menafikan tempat mereka yang sah dalam sejarah," katanya.

Anwar berkata, halangan yang diletakkan terhadap kemajuan ekonomi dan teknologi China, hanya akan menonjolkan lagi rasa tidak puas hati tersebut.

"Namun begitu, pada ketika menghadapi situasi persepsi yang bersaing, saya tidak sekali-kali mengesyorkan bahawa kita boleh menutup mata terhadap tingkah laku atau tindakan yang tidak selaras dengan undang-undang dan norma antarabangsa," katanya.

Anwar berkata, adalah sesuatu yang penting bagi kita untuk memahami perubahan yang mendalam yang telah berlaku di Amerika Syarikat. Tiga puluh tahun yang lalu merupakan tempoh di mana bahagian utama asas industri Amerika telah benar-benar dilenyapkan.

"Keruntuhan golongan pekerja di Amerika Syarikat merupakan salah satu perubahan masyarakat yang paling berpengaruh dalam era kita.

"Globalisasi tidak memberikan kesan kepada mereka seperti yang berlaku kepada pekerja di Asia. Perang yang berlarutan di Iraq dan Afghanistan telah menimbulkan kesan yang besar terhadap psikologi rakyat. Akibatnya, terdapat kecenderungan untuk pemimpin yang lebih transaksional dengan bahagian lain dunia - mereka yang menyatakan bahawa mereka mengutamakan Amerika," katanya.

Anwar juga menyatakan bahawa"kita juga sedang mengalami perubahan fundamental dalam andaian global mengenai apa yang dicita-citakan masyarakat.

"Selama lebih dari 150 tahun, sekurang-kurangnya sejak Restorasi Meiji pada tahun 1868, menjadi kebenaran yang tidak berubah bahawa menjadi moden atau malah bertamadun menjadi Barat.

"Hari ini, jurang sedang berkembang antara apa sebut sebagai Utara Global dan Selatan Global.

"Oleh itu, kita perlu mula menerima bahawa Selatan Global kini melihat pelbagai cara untuk memajukan masyarakat mereka - dan bukan hanya yang ditetapkan dan disokong oleh Utara Global. Oleh itu, kita tidak sepatutnya mengambil mudah bahawa pandangan Barat tentang susunan dunia masa depan akan diterima secara universal," katanya.

Anwar berkata, ada perasaan tidak sabar yang semakin meningkat dengan bagaimana institusi global gagal untuk mereformasikan diri mereka sendiri.

Beliau berkata, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan institusi Bretton Woods direka selepas Perang Dunia Kedua, mencerminkan dunia yang sudah lama tiada dan bahawa Konsensus Washington secara perlahan-lahan semakin terhakis, jika tidak hilang sama sekali.

"Oleh itu, kita seharusnya tidak terkejut apabila forum seperti BRICS mula mendapat pengiktirafan. Jika satu laluan untuk menegakkan realiti baru terhalang, yang lain akan menggantikannya.

"Tetapi kita seharusnya berhati-hati apabila ini mengambil bentuk mini-lateralisme, kerana ia boleh membawa kepada kesan yang tidak diingini berupa peningkatan kecurigaan daripada merapatkan perbezaan. Oleh itu, penting bagi kita untuk mencari cara untuk meningkatkan institusi multilateral dan perjanjian lain yang bersifat inklusif secara reka bentuk," katanya.

Anwar berkata, tiada jawapan yang mudah dan terus kepada keadaan semasa, kerana perkara itu amat kompleks.

"Mereka berakar umbi dalam persoalan yang membimbangkan mengenai tempat yang sewajarnya bagi masyarakat dalam dunia dan dalam sejarah, martabat mereka, dan mata pencarian mereka. Ia membawa kepada soalan asas tentang nilai dan identiti," katanya.

Bagi kebanyakan negara, Anwar berkata, tindak balas semula jadi terhadap perubahan ini adalah untuk membina pertahanan mereka dan mengukuhkan rangkaian hubungan strategik mereka.

"Bagi Australia, ini pada dasarnya telah diwujudkan dalam membina keupayaan angkatan laut yang lebih kuat. Kami juga akan merangka haluan baru untuk memperluas hubungan dua hala dalam bidang seperti kecerdasan buatan dan keselamatan siber," katanya.

Pada masa yang sama, Anwar berkata, beliau percaya bahawa Malaysia dan Australia mempunyai tanggungjawab untuk berusaha sebaik mungkin untuk menggalakkan Amerika Syarikat, China, dan pemain besar lain dalam Asia Pasifik, untuk bertindak dengan cara yang menyumbang kepada peningkatan kerjasama serantau dan integrasi ekonomi.

"Oleh itu, saya menjemput rakan utama Malaysia, termasuk Australia tentunya, untuk bekerjasama rapat dengan kami dalam membangunkan semula kerjasama dan integrasi serantau," katanya. - Bernama