JERTIH - Penduduk kampung di sekitar daerah Besut terkejut dan berada dalam ketakutan kerana kehadiran seekor gajah yang dipercayai tersesat dari Hutan Simpan Hulu Besut sejak Selasa lepas.
Menurut penduduk Kampung Gong Layat dekat Beting Lintang, Zainun Ibrahim, 60, beliau sememangnya terkejut dengan kehadiran gajah tersebut memandangkan kampungnya itu terletak lebih 20 kilometer (km) dari hutan simpan terdekat iaitu Hutan Simpan Gunung Tebu.
"Kira-kira jam 12 tengah hari semalam saya dapati dua batang pokok kelapa saya tumbang dan pada awalnya tidak menyangka ia dimusnahkan gajah kerana sepanjang umur saya, tidak pernah berlaku kejadian gajah datang ke kawasan ini memandangkan kampung ini terletak puluhan kilometer dengan hutan simpan selain kampung ini berdekatan dengan pantai.
"Pada awalnya, saya fikirkan ia dirosakkan oleh beruang tetapi sedikit sangsi kerana haiwan tersebut tidak mampu untuk tumbangkan pokok kelapa yang bersaiz besar. Bahkan tiada juga kejadian ribut...sebelum saya mengesyaki ia dilakukan oleh gajah selepas melihat kesan tapak kaki yang besar dan kesan umbut kelapa telah dimakan,” katanya ketika ditemui Bernama pada Khamis.
Zainun berkata, pokok kelapa itu dirosakkan awal pagi semalam sebelum haiwan itu beredar ke kawasan lain.
Sementara itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Terengganu pada Khamis mengesahkan kejadian seekor gajah tersesat dari Hutan Simpan Hulu Besut dan memasuki beberapa kampung sejak tiga hari lepas.
Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, pihaknya menerima laporan pertama daripada orang awam berhubung kehadiran gajah tersebut di kawasan kebun kelapa sawit penduduk di Kampung Oh, Jabi, dekat sini pada Selasa lepas.
"Kakitangan Perhilitan telah ke lokasi di kawasan Gong Machang dan sekitar Beting Lintang di sini untuk melakukan operasi menjejak dan menangkap gajah tersebut tetapi sekiranya gagal (ditangkap) ia akan dihalau masuk ke habitat asalnya semula.
"Berdasarkan kesan tapak kaki gajah tersebut, dianggarkan ia berusia antara 20 hingga 25 tahun namun jantinanya belum dapat dikenal pasti,” katanya.
Difahamkan mamalia itu dikesan di Kampung Berangan, Hulu Besut yang terletak hampir 40km dari kawasan Beting Lintang pada minggu lepas, sebelum dipercayai melalui puluhan kampung antaranya Kampung Renek, Kampung Kepala Gajah, Gong Machang, Pengkalan Kubur dan sampai di Beting Lintang iaitu kawasan berdekatan pantai. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28