PUTRAJAYA - Malaysia telah menyaksikan kemajuan ketara dalam merapatkan jurang jantina dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan peratusan pengarah wanita meningkat kepada 29.7 peratus pada 2023 daripada 14 peratus pada 2016.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bagaimanapun masih terdapat banyak yang perlu dilakukan bagi merapatkan jurang itu.
"Malaysia, dalam meraih kemajuan, masih ketinggalan di belakang rakan kita di Asia Tenggara, terutamanya mengenai isu kritikal seperti jurang gaji jantina," katanya.
Nancy berkata demikian ketika berucap pada majlis penganugerahan Program Wanita dalam Keusahawanan (WiE) 2024 oleh Futuremakers by Standard Chartered dan Mereka Innovative Education (Mereka) di sini pada Khamis sempena Hari Wanita Antarabangsa yang akan disambut esok.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Mak Joon Nien dan Pengarah Mereka, Juliana Adam.
Nancy berkata, menyedari bahawa wanita memainkan penting dalam mencorakkan masyarakat, kejayaan mereka dalam arena perniagaan secara langsung berkait rapat dengan kejayaan ekonomi negara.
Justeru, beliau berkata, inisiatif seperti program WiE menandakan kemajuan yang signifikan dalam usaha kolektif untuk mengurangkan perbezaan jantina supaya lelaki dan wanita dapat berada pada tahap yang sama dalam landskap keusahawanan.
Beliau berkata, terdapat keperluan untuk lebih banyak program pemerkasaan bagi menaikkan wanita, memupuk persekitaran organisasi yang diterajui wanita bukan sahaja berkembang tetapi juga memacu kemajuan negara.
"Kita mesti mengambil pendekatan proaktif, melabur pada masa depan kita untuk memupuk ekosistem yang membolehkan keusahawanan wanita berkembang maju.
"Bersama-samalah kita memupuk legasi pemerkasaan dan inovasi, berusaha ke arah masa depan yang kesaksamaan gender bukan sekadar ideal tetapi aspek asas kemajuan masyarakat kita," katanya.
Pada majlis itu, Nancy menyampaikan cek cura AS$20,000 (kira-kira RM47,100) setiap satu kepada lima pertubuhan diterajui wanita di bawah program WiE iaitu Early Mind Ripple, LJD, Enoku, Edulab dan Keto.
Kelima-lima organisasi itu akan memulakan program bimbingan mentor selama enam bulan dengan pakar industri Mereka dan menerima bimbingan peribadi yang meliputi aspek penting pembangunan organisasi, merangkumi operasi perniagaan asas dan integrasi teknologi serta taktik pemasaran dan perhubungan awam berkesan.
Sementara itu, Futuremakers telah memperkasakan lebih 2.1 juta belia di seluruh dunia iaitu 68 peratus ialah wanita dan kanak-kanak perempuan dengan pendidikan, pekerjaan dan kemahiran keusahawanan.
Pada September 2023, Futuremakers dan Mereka melancarkan WiE di Malaysia untuk mengwibawakan organisasi yang diterajui wanita tempatan.
Futuremakers ialah inisiatif global untuk menangani ketidaksamaan dengan menggalakkan kemasukan ekonomi yang lebih besar dalam pasaran.
Ia menyokong golongan muda yang kurang bernasib baik berumur 35 tahun ke bawah, terutamanya kanak-kanak perempuan dan orang kurang upaya penglihatan, untuk mempelajari kemahiran baru dan meningkatkan peluang mereka mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan.
Mereka pula ialah platform pendidikan alternatif bertujuan untuk mengajar kemahiran masa depan bagi membina kumpulan bakat yang bijak, terlibat dan dimaklumkan untuk menghadapi cabaran masa akan datang. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28